fbpx
BRAZIL memulakan aksi kelayakan dengan langkah kanan apabila meraih kemenangan 5-0 menewaskan Bolivia pagi semalam. – AFP

Aksi lima bintang dipamer Brazil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAO PAULO – Pasukan gergasi Amerika Selatan, Brazil memulakan kempen kelayakan Piala Dunia 2022 dengan aksi lima bintang selepas menewaskan Bolivia 5-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Arena Corinthians pagi semalam.

Pada aksi tersebut, skuad Selecao yang dikendalikan oleh Tite berjaya mengumpulkan bintang-bintang ternama mereka se­perti Neymar, Roberto Firmino, Philippe Coutinho dan kapten, Thiago Silva dalam kesebelasan utama.

Keputusan tersebut membuahkan hasil apabila pasukan yang menduduki ranking No. 3 dunia tidak mempunyai masalah untuk mendominasi sebahagian besar perlawanan selain mencipta banyak peluang keemasan bagi menjaringkan gol.

Ledakan pertama berjaya dilakukan oleh pemain pertahanan Paris Saint-Germain (PSG), Marquinhos yang menanduk masuk hantaran Danilo pada minit ke-16.

Firmino yang sebelum ini dikritik kerana kemarau jaringan ketika bersama juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool telah menunjukkan bisa dengan meledak dua gol pada minit ke-30 dan ke-49.

Brazil terus selesa di depan apabila pemain pertahanan Bolivia, Jose Carrasco menjaring­kan gol ke gawang sendiri ketika berusaha untuk menghalang hantaran yang dilakukan oleh Coutinho pada minit ke-66.

Coutinho yang juga pemain pasukan Barcelona akhirnya dapat mencipta nama sebagai penjaring berselang tujuh minit kemudian dan keputusan 5-0 kekal sehingga tamat perlawanan. – AGENSI

POPULAR