JAKARTA – Polis Indonesia hari ini menafikan dakwaan mengeluarkan belanja berbilion rupiah dalam persediaan mengawal tunjuk perasaan terhadap Undang-undang Cipta Kerja di republik itu baru-baru ini, lapor laman berita The Jakarta Post.
Jurucakap Polis Indonesia, Inspektor General Argo Yuwono berkata, dana sebanyak 408.8 bilion rupiah (RM1.2 juta) yang diperuntukan di bawah belanjawan unit kawalan adalah untuk membekalkan beberapa jenis peralatan keselamatan.
“Peruntukan tersebut bukan digunakan untuk mengawal tunjuk perasaan terhadap Undang-undang Cipta Kerja, tetapi bagi pilihan raya kabupaten akan datang.
“Ia bagi membekalkan topi keledar, pelindung kaki, perisai serta peralatan lain yang akan digunakan polis di kawasan pilihan raya,” katanya.
Selain itu, Argo menyeru orang ramai supaya tidak bimbang dengan perbelanjaan daripada peruntukan yang diberikan kepada pihak polis dan menjamin pihaknya akan sentiasa telus dalam perkara berkenaan.
“Badan Pemeriksaan Kewangan yang akan menguruskan peruntukan tersebut, jadi tiada sebarang masalah berkaitan ketelusan dalam perbelanjaan berkenaan.
“Bagaimanapun, orang ramai kini sering mengaitkan semua perkara dengan tunjuk perasaan itu,” jelasnya. – Agensi














