Oleh IVAN AMIRUL
KOTA KINABALU – Seorang lelaki berusia 53 tahun disahkan positif Covid-19 dikehendaki polis selepas bertindak menghilangkan diri ketika menunggu di Unit Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, lelaki tempatan itu dikatakan dibawa ke pusat berkenaan selepas mendapat keputusan ujian di Klinik Kesihatan Telipok.
“Suspek lelaki ini beralamat di Taman Puterajaya, Telipok dan disahkan positif dalam ujian yang dibuat sehari sebelum itu.
“Pihak Klinik Kesihatan Telipok sudah menghubunginya namun suspek tidak menjawab panggilan. Oleh itu, suspek diminta untuk menyerah diri di mana-mana klinik kesihatan berdekatan dengan segera,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Dalam pada itu, Habibi berkata pihaknya bersama Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu kini turut giat mengesan suspek untuk tindakan lanjut namun suspek masih gagal dikesan setakat ini.
Habibi memasihatkan Orang awam agar berhati-hati dan melaporkan sebarang maklumat sekiranya mengenali suspek.
Kes disiasat mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.-K! ONLINE














