ALGIERS, Algeria – Kerajaan Algeria digesa mengubah prinsip mengenai hukuman mati mandatori terhadap pesalah kes rogol dan bunuh susulan kejadian tragis yang menimpa gadis jelita berumur 19 tahun, Chaima Sadou.
Laman berita Arab News melaporkan, mangsa diculik, dirogol dan dibakar pada 1 Oktober lalu di sebuah stesen minyak terbiar di pekan Thenia yang terletak 60 kilometer dari ibu kota Algeria, Algiers.
Dalam satu sidang media, pendakwa raya mendedahkan bahawa keluarga mangsa pernah membuat aduan polis mengenai suspek yang dikenali sebagai Rayan pada 2016 kerana mengganggu mangsa.
Pada hari kejadian, Rayan pergi ke balai polis berdekatan untuk membuat aduan bahawa seorang rakannya rentung dalam kebakaran di stesen minyak itu.
Siasatan yang dilakukan pihak polis sebaliknya mendapati mayat Chaima dipenuhi kesan lebam terutama pada belakang kepala dan celah paha kiri mangsa.
Selepas disoal siasat, Rayan akhirnya mengaku memperdayakan mangsa supaya datang ke stesen minyak tersebut sebelum dia merogol, memukul Chaima hingga mati dan mencurahkan petrol pada mayat mangsa lalu membakarnya.
Kes itu menimbulkan kemarahan rakyat Algeria yang mahu hukuman setimpal dilaksanakan selepas Algiers tidak melaksanakan hukuman mati sejak tahun 1993.
Di laman Twitter pada Isnin lalu, tanda pagar #JeSuisChaima mula tular sebagai sokongan orang ramai kepada mangsa.
Ibu Chaima menuntut campur tangan Presiden Algeria, Abdelmajid Tebboune dalam kes itu dan mahu hukuman mati dilaksanakan terhadap pesalah demi keadilan untuk anak gadisnya.
“Anak perempuan saya dibunuh dan mayatnya dibakar. Saya menuntut hukuman mati terhadap suspek yang melakukannya, itu sahaja yang saya minta,” ujarnya ketika menghadiri demonstrasi di bandar Bejaia kerana menuntut kerajaan melaksanakan semula hukuman tersebut kelmarin.
Sementara itu, beberapa juri dan aktivitis kemanusiaan menganggap hukuman mati bukan pilihan terbaik di zaman moden dan tidak mampu menggurangkan statistik jenayah semasa.
Seorang peguam, Zakaria Benlahrech memberitahu portal Arab News bahawa Algeria melaksanakan sekatan hukuman mati sejak 1993 dan tiada apa yang berubah selepas 27 tahun. – Agensi