fbpx

Hukuman penjara wanita warga Vietnam ditangguh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang wanita Vietnam bergelar Datuk yang  sebelum ini dipenjara tiga tahun atas dua pertuduhan rasuah akhirnya boleh berkahwin selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkannya menangguhkan perlaksanaan hukuman penjara itu.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas  membenarkan permohonan Tran Thi Mai, 44, atau lebih dikenali sebagai Datuk Maimunah selaku pemohon termasuk mendengar hujah daripada kedua-dua belah pihak.

“Selepas menimbang hujahan kedua-dua pihak termasuk kes-kes yang dirujuk, saya benarkan permohonan kerana terdapat keadaan istimewa (special circumstances). Namun pemohon dikehendaki membayar denda bagi kedua-dua pertuduhan kerana penangguhan hanya dibenarkan untuk hukuman penjara,” kata Hakim itu.

Pada masa sama, Hakim Muhammad Jamil membenarkan pemohon dilepas dengan jaminan RM400,000 dengan dua penjamin warga tempatan serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah selain melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebulan sekali.

Bagaimanapun dalam prosiding itu Thi Mai tidak hadir kerana menjalani kuarantin kendiri Covid-19.

Pada waktu sekarang, Thi Mai menjalani hukuman penjara itu di Penjara Kajang, selepas Mahkamah Sesyen sebelum ini tidak membenarkan permohonannya untuk penangguhan pelaksanaan hukuman.

Terdahulu, peguam G.K.Sritharan yang mewakili Thi Mai dalam hujahannya berkata anak guamnya yang tidak mempunyai rekod lampau, telah menetap di Malaysia lebih 10 tahun dan telah memeluk agama Islam serta akan berkahwin.

“Pemohon tidak pernah gagal hadir pada setiap prosiding, mustahil untuk beliau melarikan diri.

“Beliau juga berasal dari keluarga yang berada di Vietnam jadi mereka boleh membayar wang tersebut (jaminan),” katanya.

Namun Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa membantah permohonan penangguhan hukuman
kerana menurut beliau isu-isu kepentingan peribadi bukan alasan istimewa untuk mahkamah menangguhkan hukuman.

Pada 26 September tahun lalu, Thi Mai dihukum penjara tiga tahun dan didenda RM1.75 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan memberi rasuah RM350,000 kepada pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), tiga tahun lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah secara rasuah memberi wang berjumlah RM300,000 kepada Muhammad Sani Abdullah, 31, bagi pihak Amran Daud, 55, yang merupakan Pengarah Maritim Daerah Sedili, Johor.

Wang itu didakwa sebagai sebagai dorongan untuk melepaskan tiga buah bot nelayan Vietnam yang ditahan APMM Tanjung Sedili, Kota Tinggi, yang disyaki melakukan kesalahan menceroboh perairan Malaysia untuk menangkap hasil laut.

Wanita empat anak itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di Hot Gossip Cafe, Hotel Park Royal, Jalan Bukit Bintang, di sini, antara pukul 6.30 petang dan 7.30 malam, 2 Mei 2017.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahaan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Thi Mai didakwa melakukan perbuatan sama berjumlah membabitkan jumlah RM50,000, bagi melepaskan sebuah bot nelayan Vietnam, di Restoran Starbucks, Pearl Point Shopping Mall di sini, pukul 4 petang, 12 Mei 2017 mengikut seksyen sama.K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI