Oleh SITI A’ISYAH SUKAIMI
PUTRAJAYA – Sebanyak 354 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kes positif sebanyak 14,722 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut, 352 kes adalah penularan tempatan manakala dua kes import membabitkan warga Malaysia pulang dari India dan Oman. \
“Selain itu, terdapat tiga kluster baharu yang dilaporkan hari ini iaitu Kluster Atap di Kota Kinabalu, Sabah; Kluster Bah Lada di daerah Perak Tengah dan Hilir Perak di Perak serta Kluster Bah Sahabat di Marang dan Kuala Nerus, Terengganu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar secara maya dari kediamannya serta bersiaran secara langsung di Facebook Kementerian Kesihatan.
Dalam pada itu, Dr. Noor Hisham berkata, enam kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan menjadikan sebanyak 152 kes kematian sehingga kini dan kesemuanya direkodkan di Sabah.
Tambahnya, kematian tersebut membabitkan tiga lelaki dan tiga wanita berusia antara 54 hingga 68 meninggal dunia di Hospital Tawau, Hospital Semporna dan Hospital Queen Elizabeth. -K!ONLINE.