fbpx

JAS Perak siasat bahan buangan dipercayai sisa industri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Petugas JAS negeri Perak mengambil tanah dipercayai mengandungi buangan sisa industri di Ulu Chepor semalam.

Oleh ZAKI SALLEH

IPOH – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak sedang menyiasat dakwaan berhubung sebuah tapak pelupusan haram yang dipercayai menjadi tempat buangan sisa industri ditemui bersebelahan sebuah resort dekat Kampung Ulu Chepor dekat sini.

Sepasukan petugas jabatan itu telah pun dihantar ke lokasi tersebut pada pukul 1.15 petang semalam bagi melakukan tinjauan dan mengambil dua sampel tanah untuk dihantar kepada Jabatan Kimia negeri bagi dianalisa.

Pengarah JAS negeri Perak, Rosli Zul berkata, kawasan berkenaan juga telah ditutup bagi siasatan terperinci selain mengelak diceroboh pihak luar.

Menurut beliau, pihaknya juga akan berhubung dengan Pejabat Tanah dan Galian negeri Perak untuk mengetahui pemilik tanah tersebut sebelum tindakan selanjutnya diambil.

“Berdasarkan keadaan tanah, ini bukanlah buangan baharu dan berkemungkinan telah lama atau dilakukan dalam tempoh tertentu selain lokasinya yang jauh tersorok.

“Setakat ini siasatan masih pada peringkat awal manakala jenis bahan buangan pun belum dapat disahkan. Maklumat terperinci boleh diketahui sebaik siap ujian kimia sampel,” ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Kosmo! hari ini melaporkan, sebuah tapak pelupusan haram yang dipercayai menjadi tempat buangan sisa industri ditemui bersebelahan sebuah resort dekat Kampung Ulu Chepor dekat sini.

Kawasan berkeluasan kira-kira 0.5 hektar itu dipercayai mula menjadi tempat pelupusan sejak lebih setahun lalu.Sisa buangan berkenaan ditemui oleh pemilik resort ketika melakukan kerja mengorek kelubung air yang pecah di kawasan resortnya dua minggu lalu.

Kata Rosli, pihaknya juga telah memaklumkan perkara tersebut kepada kerajaan negeri menerusi Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar, dan Teknologi Hijau negeri, Ahmad Saidi Mohamad Daud dan JAS Putrajaya.

Jelasnya lagi, berdasarkan pemantauan secara fizikal berkemungkinan bahan buangan yang ditemui itu adalah bahan industri cuma kandungan sebenarnya belum dapat disahkan.

“Pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara juga telah mengesahkan bahawa tiada berlaku pencemaran pada mana-mana kawasan tadahan air berhubung penemuan bahan buangan ini di tempat kejadian.

“Siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974, Seksyen 34A, Seksyen 18 dan Seksyen 24 akta sama yang setiap satunya boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM500,000 dan penjara jika sabit kesalahan,” ujarnya.  – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI