PUTRAJAYA – Saringan Covid-19 akan dilakukan ke atas semua banduan baharu sebelum mereka ditempatkan bersama banduan sedia ada bagi mengekang penularan wabak itu dalam kalangan tahanan dan warden di dalam penjara.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri berkata, itu merupakan sebahagian prosedur operasi standard (SOP) baharu yang dibentangkan Jabatan Penjara dan telah dipersetujui dalam sidang khas Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini.
Beliau berkata, banduan yang disaring kemudiannya akan ditempatkan secara berasingan untuk menjalani kuarantin selama 13 hari sebelum ujian calitan kedua dilakukan ke atas mereka.
“Setelah tamat tempoh kuarantin, banduan yang negatif akan dipindahkan ke Blok Penempatan Kekal pada hari ke-15 dan akan diasingkan selama lima hari daripada bercampur dengan banduan lain.
Banduan yang bergejala semasa dalam tempoh kuarantin hendaklah dirujuk kepada hospital,” katanya pada sidang akhbar di FB Live Kementerian Pertahanan hari ini. – K! ONLINE














