LOS ANGELES – Bintang rock, Eddie Van Halen meninggal dunia pada usia 65 tahun akibat kanser tekak, demikian menurut pengumuman anaknya semalam.
Mendiang merupakan gitaris dan pengasas bersama kumpulan Van Halen, satu band rock yang popular pada tahun 1980-an.
Eddie meninggal dunia di Hospital St. Johns di Santa Monica, California di Amerika Syarikat (AS). Isterinya, Janie berada di sisi mending pada ketika itu, lapor portal TMZ.
Eddie disahkan menghidap kanser kira-kira 20 tahun lalu dan dikhabarkan kerap berulang-alik dari AS ke Jerman untuk mendapatkan rawatan.
Bagaimanapun, beberapa laporan mendakwa sel-sel kanser sudah merebak ke otak dan beberapa organ badan lain.
“Saya seolah-olah tidak percaya saya terpaksa menulis ini, tetapi bapa saya, Edward Lodewijk Van Halen, telah tewas dalam perjuangan tempoh lama melawan kanser pagi ini (semalam),” kata Wolf Van Halen di Twitter.
“Dia adalah bapa terbaik. Setiap momen saya berkongsi dengannya di atas dan di belakang pentas adalah satu anugerah.
“Hati saya berkecai dan saya tidak mungkin dapat pulih sepenuhnya dengan kehilangan ini. Saya amat menyayangi kamu, pop (bapa).”
Dilahirkan di Belanda dan membesar di California, Eddie dan abangnya, Alex menubuhkan band rock Van Halen pada 1970-an.
Van Halen sudah menjual lebih 75 juta album dan pernah berada pada kedudukan nombor satu carta rock di AS, lebih banyak berbanding artis lain. – AFP/Agensi