fbpx
AZZAM SHAM juara Big Stage 2020.

Rezeki Azzam tak salah alamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELABUHKAN tirainya pada Ahad lalu, Big Stage 2020 (BS2020) membuktikan norma baharu tidak menghalangnya untuk mendapat rating paling tinggi dalam sejarah penyiaran program tersebut.

Bermula dengan kontroversi juri tetap, Ajai memberi dua markah kepada Hafiz Zainal, program tersebut mula mendapat perhatian ramai ketika dunia sedang dilanda Covid-19.

Belum pun reda kontroversi tersebut, peminat BS2020 dikejutkan pula dengan kisah tragis kemalangan maut melibatkan salah seorang peserta, Sandra Diane yang meninggal dunia pada 11 September lalu.

REZEKI yang tidak salah alamat. Itu ungkap Azzam tentang kemenangannya sebagai juara BS2020. – FARIZ RUSADIO & Ihsan Astro

Satu demi satu peristiwa ‘bersejarah’ yang berlaku sepanjang program kegemaran ramai tersebut bersiaran sehinggalah juaranya berjaya dicungkil pada konsert akhir.

Pentas final yang berlangsung pada Ahad lalu itu menjulang peserta kegemaran ramai, Azzam Sham sebagai juara musim ketiga BS2020, sekali gus membawa pulang wang tunai RM100,000 beserta trofi sumbangan Astro.

Kejuaraan Azzam sekali gus meletakkan Usop yang memberi tentangan hebat pada malam tersebut berada di tempat kedua, diikuti Qody Rany sebagai pemenang tempat ketiga.

Tempat keempat pula menjadi milik Dinie Rashid, manakala Fadh Majid sekadar pulang dengan trofi tempat kelima.

Kemenangan Azzam nyata direstui ramai, apatah lagi, jejaka berusia 23 tahun tidak menghampakan penonton dengan dua persembahan memukau pada malam tersebut.

KEMENANGAN yang direstui peminat. Azzam tengah diapit Usop (kiri) dan Qody (kanan).

Rezeki

Menyahut cabaran Datuk Seri Siti Nurhaliza untuk menyanyikan lagu Aku Bidadari Syurgamu, Azzam berjaya menyampaikan karya tersebut dengan cemerlang.

Untuk persembahan keduanya pula, pemilik nama penuh Muhammad Azzammuddin Lop Hisham itu berjaya menyuntik keterujaan ramai dengan aksi bertenaga menerusi lagu Granade nyanyian asal Bruno Mars.

Menanyakan, Azzam sama ada kemenangan tersebut sudah dalam jangkaan, begini jawabnya:

“Saya tidak pernah rasa akan bergelar seorang juara. BS2020 merupakan satu pertandingan yang sangat besar dan saya bersyukur dapat menjadi sebahagian daripada program.

“Apa pun saya sangat puas dengan persembahan pada malam ini. Saya juga percaya rezeki Allah SWT tidak pernah salah alamat, syukur.”
Azzam yang memperoleh sebanyak 67.85 peratus markah berdasarkan penilaian juri itu menambah, sokongan peminatnya sangat padu sejak dia menjejakkan kaki di pentas BS2020.

“Saya tak sangka mampu hingga ke tahap ini dan sangat bersyukur kerana memiliki peminat yang sentiasa ada bersama saat jatuh dan bangun sepanjang pertandingan.

“Selain itu, nasihat dan tunjuk ajar daripada tenaga pengajar, kru produksi serta barisan juri juga antara yang banyak membantu saya memperbaiki persembahan setiap minggu. Terima kasih tidak terhingga kepada semua,” tuturnya.

EMPAT bintang kelahiran Big Stage 2020 (dari kiri), Fadh Majid, Usop, Azzam Sham, Qody Rany dan Dinie Rashid dengan kuasa vokal yang bakal menyerikan persada muzik tanah air.

Bercerita tentang wang kemenangan, Azzan belum menetapkan perancangan mengenai hadiah tersebut.

“Jujurnya tidak ada perancangan untuk duit berkenaan, tetapi rasanya saya akan simpan dahulu.

“Kita tidak akan pernah tahu apa akan terjadi pada masa depan, mungkin wang ini sangat berguna untuk kegunaan waktu kecemasan,” kongsi anak kelahiran Sungai Besi, Kuala Lumpur itu.

Rating

Sepanjang dua bulan bersiaran, boleh dikatakan setiap minggu tanda pagar #bigstage2020 menjadi sohor kini menerusi Twitter.

Pencapaian tersebut membuktikan program berkenaan berjaya meraih rating yang tinggi dalam kalangan penonton sama ada secara atas talian atau pun menerusi kaca televisyen.

Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd Kamal, penyiaran BS2020 berjaya mendapat rating yang lebih banyak berbanding BS2019 lalu.

USOP hanya pulang dengan trofi naib juara selepas menyelesaikan dua tugasan menyanyikan lagu Arjuna dan Peluang Kedua.

“Jika hendak dibandingkan dengan BS2019, memang BS2020 meraih lebih banyak penonton. Kami bersama kru produksi memang amat bersyukur dengan peningkatan tersebut.

“Bukan itu sahaja, undian peminat pula mencatat angka enam kali ganda berbanding jumlah yang kami terima pada musim lalu,” katanya.

Emarina juga tidak menyangka BS2020 mendapat jumlah penonton yang tinggi dan menjadi buah mulut netizen dalam media sosial.

“Penyiaran BS2020 kali ini sangat sukar disebabkan pelbagai prosedur operasi standard (SOP) yang perlu kami patuhi sepanjang bersiaran.

“Malah, perjalanan BS2020 juga seperti roller coaster. BS2020 satu-satunya musim yang hanya dihadiri kurang daripada 250 orang penonton sehingga kurang mendapat sambutan pada minggu awal bersiaran.

AZZAM menyanyikan lagu Granade dengan bertenaga dan penuh semangat.

“Kemudian terjadinya peristiwa tragis di tengah-tengah perjalanan BS2020, memang banyak yang kami perlu tempuhi pada musim ini. Tetapi alhamdulillah semuanya dipermudahkan,” katanya.
Emarina turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang tidak henti-henti menyokong dan membantu meneruskan BS2020.

Dalam pada itu, Emarina tidak menolak kemungkinan pihaknya akan terus melahirkan banyak bakat baharu pada musim keempat.

“Jika dilihat pada rating dan penerimaan netizen, kami sedang dalam perancangan untuk musim keempat,” katanya ringkas.

Konsert akhir BS2020 membariskan Ajai, Dayang Nurfaizah dan Faizal Tahir sebagai juri tetap, manakala Misha Omar menduduki kerusi juri jemputan.

Elly Mazlein pula kekal memegang takhta Presiden Netizen dengan gaya tersendiri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN