fbpx

Pemandu tinggalkan rokok seludup RM1.4 juta dalam lori

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ku Majidin Che Ku Jusoh (kiri) bersama pegawai Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 menunjukkan rokok seludup yang ditinggalkan di dalam sebuah lori di Markas Taktikal Lubok Setol, Briged Tenggara PGA Rantau Panjang di sini hari ini. - Foto ZULHANIFA SIDEK

RANTAU PANJANG – Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 merampas sebanyak 1.9 juta batang rokok seludup dianggarkan bernilai lebih RM1.4 juta yang ditinggalkan dalam sebuah lori di Jalan Beris Kubur Besar dekat Bachok semalam.

Penolong Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Ku Majidin Che Ku Jusoh berkata, dua jenis rokok iaitu John D-Blend dan John itu ditemui pada pukul 10 malam selepas ia ditinggalkan oleh pemandu lori setelah anggota PGA mengekorinya sejauh 40 kilometer.

Menurutnya, PGA Batalion 7 dengan bantuan PGA Batalion 9 menerima maklumat awal dan terus menjalankan rutin rondaan sebelum melihat sebuah lori jenis Hicom berwarna putih dipandu dalam keadaan mencurigakan dari arah Chabang Empat Tok Mek Ngah ke Kota Bharu.

Katanya, anggota PGA telah mengekori lori tersebut sehingga ke Jalan Beris Besar selama satu jam untuk mengenal pasti gudang penyimpanan barangan yang dibawa oleh kenderaan itu.

“Bagaimanapun, pemandu telah bertindak memberhentikan lori berkenaan secara tiba-tiba apabila dia menyedari kenderaannya diekori pihak berkuasa.

“Pemandu itu kemudian keluar dari lori dan melarikan diri ke arah kawasan semak dengan meninggalkan kenderaannya dalam keadaan enjin yang masih hidup di tepi jalan,” katanya pada sidang akhbar di Markas Taktikal Lubok Setol, Briged Tenggara PGA di sini hari ini.

Menurut Ku Majidin, anggota PGA telah membuat pemeriksaan terhadap lori itu sebelum menemui 197 kotak mengandungi 1 juta batang rokok jenis John D-Blend dan 970,000 batang rokok John yang dibalut dengan plastik hitam serta putih.

Katanya, siasatan polis mendapati, kesemua rokok itu diseludup dari negara jiran untuk dijual kepada peniaga-peniaga kecil di negeri ini.

“Kita juga cuba mengesan pemandu lori itu dalam radius lima hingga lapan kilometer di sekitar Kampung Beris Kubur Besar selama sejam, namun usaha itu gagal.

“Usaha PGA Batalion 7 menggagalkan kegiatan itu sekali gus menjadikan kes ini merupakan rampasan rokok seludup terbesar bagi negeri Kelantan pada tahun ini,” katanya.

Tambah Ku Majidin, kesemua barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI