fbpx

ZBC Bakery perluas cawangan ketiganya tahun depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI – ZBC Bakery Sdn. Bhd. (ZBC Bakery) mengunjurkan untuk meluaskan penguasaan pasarannya selain mengukuhkan jenama Zetty Butterscotch Cake menjelang dua tahun akan datang.

Pengasasnya, Taufik Abdul Latef berkata, projek pengembangannya itu bakal dilaksanakan melalui konsep francais yang mana syarikat bakal membuka rangkaian dalam bentuk kios ringkas dengan menawarkan pelbagai pilihan kek lazat untuk memenuhi kehendak pelanggan.

“Sebagai permulaan kami akan membuka cawangan ketiga di Ampang, Selangor menjelang tahun depan.

“Perniagaan ini telah bermula sejak tahun 2013 dan ia semakin berkembang setiap tahun melalui sistem francais di bawah bimbingan Perbadanan Nasional Berhad (PNS),” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Buat masa ini, ZBC Bakery memiliki dua cawangan termasuk di Seksyen 9, Shah Alam.

Selain itu, Taufik menjelaskan, syarikat mengunjurkan perolehan jualan sebanyak RM1.5 juta menjelang akhir tahun ini dan yakin ia akan dapat dicapai berdasarkan jualan bulanan yang konsisten sejak bulan Mac lalu.

“Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, kami dapat menjana jualan hampir tiga kali ganda iaitu mence­cah RM170,000 berban­ding RM60,000 bulan sebelumnya.

“Kami bersyukur kerana syarikat masih dapat mengekalkan momentum jualan kira-kira RM110,000 sebulan dalam tempoh fasa pemulihan ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi ZBC Bakery, Zetty Nur­akmal Azura Rashed berkata, pihaknya memberi fokus kepada kek berperisa butterscotch yang sememangnya menjadi produk terlaris dengan sumbangan jualan sebanyak 90 peratus.

“Keistimewaan kek ini terletak pada sos butterscotch yang dibuat sendiri selepas menjalani proses penyelidikan dan pembangunan selama lima tahun.

“Kek di bakeri juga dibakar setiap hari tanpa bahan pe­ngawet bagi mengekalkan rasa serta ke­segarannya,” katanya. Selain itu, Zetty memberitahu, pihak­nya juga akan memperkenalkan menu baharu iaitu kek strawberi bersama krim keju sebagai tambahan kepada dua perisa sedia ada iaitu pandan dan tiramisu.

Zetty Butterscotch Cake boleh didapati dalam dua saiz iaitu 10×10 inci (36 potongan segi empat) dan 300 gram yang dijual pada harga RM79 dan RM23 setiap satu.