fbpx

Menanti aksi skuad Harimau Malaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SKUAD Harimau Malaya diletakkan KPI yang lebih tinggi dengan misi melayakkan diri secara automatik ke Piala Asia 2023 dan pentas final Piala AFF Suzuki 2020.
WARTAWAN EKSEKUTIF, MUHAMAD ARDIE PUTRA SUHAIMI

PENANTIAN satu penyiksaan. Itulah ungkapan yang sering kita katakan apabila tidak sabar me­nunggu pengakhiran bagi sesuatu perkara.

Situasi inilah yang berlaku apabila penyokong sukan bola sepak tanah air tidak dapat me­nyaksikan skuad Harimau Malaya beraksi selepas semua perlawanan antarabangsa ditangguh hingga tahun depan.

Skuad kebangsaan yang dikendalikan oleh Tan Cheng Hoe sepatutnya sudah mengetahui nasib mereka sama ada layak ke pentas Piala Asia 2023 selain kemungkinan beraksi pada pu­singan seterusnya kelayakan Piala Dunia 2022.

Skuad Harimau Malaya berada di kedudukan terbaik pada sai­ngan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dengan menduduki tangga kedua Kumpulan G ketika saingan masih berbaki tiga perlawanan.

Malah, harapan skuad negara untuk menamatkan kemarau kejuaraan Piala AFF Suzuki buat kali kedua sejak edisi 2010 turut terhenti selepas kejohanan itu ditangguhkan ke tarikh baharu pada 11 April hingga 8 Mei depan.

Keputusan itu telah dibuat susulan penularan pandemik Covid-19.

Bukan itu saja, skuad bawah 19 negara kendalian Brad Maloney turut terkena tempias selepas persiapan lebih dua bulan untuk mengharungi Kejuaraan AFC B-19 di Uzbekistan pada Oktober telah ditunda.

Cheng Hoe mengakui terpaksa akur dengan keputusan Konfe­derasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk menangguh saingan tersebut.

“Tidak dinafikan saya agak kecewa kerana persiapan dan pe­rancangan sudah dilakukan sejak awal tahun ini untuk mengharu­ngi baki tiga perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang sangat penting buat negara.

“Bagaimanapun, inilah realiti yang perlu kita hadapi sekarang kerana keselamatan lebih menjadi keutamaan memandangkan penularan wabak pandemik Co­vid-19 masih lagi tinggi di peringkat antarabangsa.

“Justeru, saya ambil keputusan ini sebagai petanda positif yang mana barisan kejurulatihan boleh mendapat lebih banyak masa serta ruang untuk mengatur strategi baharu,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, pihaknya akan menyusun semula perancangan skuad B-19 kebangsaan untuk disesuaikan dengan tarikh baharu kejohanan yang akan diumumkan oleh AFC nanti.

“Dengan berita penangguhan ini, kem latihan pusat Fasa 3 yang sepatutnya bermula September lepas dibatalkan, begitu juga dengan perlawanan-perlawanan persahabatan yang telah dirancang sebelum ini.

“Ini bermakna, selepas ber­akhirnya kem latihan pusat Fasa 2 pada 29 Ogos 2020, para pemain telah dilepaskan terus untuk mereka kembali ke pasukan negeri/kelab masing-masing bagi mengharungi baki saingan CIMB Liga Super 2020 dan Liga Premier 2020.

“Di pihak Sekretariat FAM, kita akan menyusun semula pe­rancangan pasukan bersama dengan pihak pengurusan dan juga barisan kejurulatihan. Kita akan maklumkan nanti kepada para peminat dan juga pihak media,” kata Stuart.

Akhir kata, bermain tahun ini atau tahun depan tidak menjadi masalah kerana apa yang penting skuad Harimau Malaya berjaya mencapai sasaran yang diletakkan selain berharap pandemik Covid-19 dapat berakhir tidak lama lagi dengan penemuan vaksin yang berkesan.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI