ALOR SETAR – Seorang pegawai dan dua anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM11,800 sejak Julai lalu.
Tiga tertuduh iaitu Inspektor Mohamad Saidy Sakah, Koperal Mohd. Asyraf Mustafa dan Koperal Muhammad Noor Firdaus Zainal bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Murtazadi Amran.
Kesemua mereka yang berusia 33 tahun bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar.
Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa secara bersama menerima wang tunai RM7,800 daripada seorang individu di hadapan sebuah restoran makanan segera di Titi Gajah di sini kira-kira pukul 8.30 malam, 16 Julai lalu.
Bagi pertuduhan kedua, mereka dituduh secara bersama menerima wang tunai RM4,000 daripada seorang individu di dalam kereta jenis Honda Civic berdekatan Medan Selera Pumpong di sini kira-kira pukul 3.30 petang, 7 September lepas.
Mereka yang merupakan penjawat awam dituduh melakukan kedua-dua perbuatan tersebut tanpa sebarang balasan daripada pengadu yang diketahui mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi tertuduh.
Pendakwaan bagi setiap pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama.
Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin kepada setiap tertuduh bagi kedua-dua pertuduhan.
Kesemua tertuduh juga diarah menyerahkan dokumen perjalanan kepada mahkamah selain perlu melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhampiran pada setiap bulan.-K! ONLINE














