Oleh IVAN AMIRUL
KOTA KINABALU – Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong di kediaman mendiang hari ini.
Mohd Shafie dan isteri, Datin Seri Shuryani Shuaib tiba di kediaman keluarga Liew sekitar pukul 11:50 pagi.
Beliau turut membawa bendera Malaysia, Sabah serta bendera parti Warisan untuk diserahkan kepada keluarga Liew.
Mohd Shafie berkata pemergian Liew adalah kehilangan besar bukan sahaja bagi negeri Sabah tetapi untuk seluruh negara.
“Takziah diucapkan kepada Datin Dr. Lindai Lee dan keluarga atas pemergian pejuang dalam Warisan dan kini kita kehilangan pemimpin yang banyak berjasa.
“Saya berharap rakyat Sabah sentiasa bergabung tenaga berusaha untuk memastikan supaya apa yang telah dihajati mendiang dapat kita teruskan.
“Saya juga ingin berterima kasih kepada semua yang hadir hari ini selain rakyat parlimen Batu Sapi yang memberi sokongan padu kepada mendiang ketika bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
“Kita berharap rakyat di parlimen berkenaan akan memberikan sokongan padu kepada Warisan. Teruskan penyatuan rakyat dan perjuangan kita,” katanya.
Turut hadir memberikan penghormatan terakhir adalah Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Datuk Christina Liew, Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darell Leiking, Naib Presiden Warisan, Datuk Junz Wong, Bendahari Agung Warisan, Terrence Siambun, Ketua Wira Warisan, Datuk Azis Jamman dan Ketua Wirawati Warisan, Isnaraissah Munirah Majilis. – K! ONLINE.
Artikel berkaitan : VK Liew meninggal dunia