KUALA LUMPUR – Sebelum pandemik Covid-19 menular di negara ini, kebanyakan nilai wang hantaran perkahwinan melebihi RM10,000.
Namun sekarang, kosnya tidak semahal dahulu berikutan majlis diadakan secara sederhana ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akibat Covid-19.
Satu pasangan pengantin dari Rawang, Selangor iaitu Norsyazila Che Ali, 36, dan suaminya, Saiful Mohd. Yunus, 32, hanya mengeluarkan belanja kira-kira RM5,000 untuk melangsungkan majlis perkahwinan mereka pada 6 Jun lalu.
Norsyazila berkata, berkahwin ketika PKPP bagaikan satu rahmat buat mereka.
“Majlis pernikahan semasa PKPP juga memang menarik kerana kita melalui proses itu secara online sahaja. Ia telah menjimatkan masa dan wang ringgit.
“Kami juga hanya menjemput kira-kira 30 tetamu terdiri daripada keluarga terdekat untuk majlis perkahwinan,” katanya kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.
Norsyazila berkata, perbelanjaan kira-kira RM5,000 itu merangkumi kos pelamin hanya RM550 dan fotografi pula RM250, manakala sesi bergambar pula hanya dilakukan di sebuah tasik kecil di hadapan rumah.
Baki wang tersebut pula dibelanjakan untuk barang hantaran serta perkhidmatan katering.

Seorang bakal pengantin, Nur Hidayah Isyhak, 29, dari Bandar Baharu Kulim, Kedah pula berkata, dia dapat menjimatkan hampir separuh daripada kos asal majlis pertunangannya yang diadakan pada 16 September lalu.
“Jika dihitung majlis pertunangan yang diadakan di rumah saya itu hanya menelan belanja RM800 termasuk barang hantaran dan jamuan kecil-kecilan.
“Majlis perkahwinan kami yang dirancang pada akhir tahun ini pula hanya diadakan di rumah keluarga saya dan tiada majlis resepsi di rumah bakal suami,” ujarnya.
Sementara itu, bakal pengantin, Mohd. Fakri Ismail, 26, berkata, dia dan pasangannya, Nur Juliana Ishak, 25, bercadang untuk berkahwin pada Februari tahun hadapan setelah mengikat tali pertunangan pada Januari lalu.
“Namun setelah berbincang dengan keluarga, kami bersetuju melangsungkan majlis perkahwinan pada November ini dan hanya akan mengadakan satu majlis di sebelah bakal isteri saya.
“Pada asalnya, saya kumpul modal sebanyak RM35,000 untuk digunakan, namun setelah ditolak kos majlis yang bakal dilangsungkan ketika PKPP, saya mampu berjimatkan lebih RM20,000,” ujarnya.
Katanya, wang hantaran yang hanya perlu diberikan kepada bakal isteri sebanyak RM10,000.
“Pada mulanya saya ingin menyewa sebuah dewan untuk majlis perkahwinan, namun setelah berbincang, saya hanya menyewa sebuah rumah tumpangan yang berharga RM500 untuk dua hari.
“Perbelanjaan katering juga dapat dikurangkan kerana jemputan nanti tidak ramai,” ujarnya.
Sementara itu, seorang jurugambar, Ainuddin Hata berkata, pihaknya juga menawarkan harga istimewa buat pasangan pengantin yang berkahwin ketika PKPP.
“Sebelum ini, harga yang ditawarkan untuk pakej asas gambar pengantin bernilai RM2,000, namun kini hanya RM800 untuk satu majlis.
Pemilik butik pengantin Afeer Kuala Lumpur, Mohd. Firdaus Abdul Razak pula berkata, selepas PKP dilonggarkan, pihaknya menawarkan pakej murah kepada pasangan pengantin untuk menarik ramai pelanggan.
“Sebelum ini, harga ditawarkan untuk majlis perkahwinan di dewan kami sekitar RM12,000 hingga RM14,000 untuk 1,000 tetamu, tetapi kini hanya RM10,000 untuk tempoh tiga jam,” katanya kepada Kosmo! Ahad.
Menurut beliau, butiknya juga menawarkan pakej serendah RM2,200 berbanding harga asal RM3,300 untuk majlis nikah eksklusif di rumah dengan menawarkan pelamin, baju dan mekap.














