fbpx
PELANTUN lagu Ku Ada Kamu itu turut mempunyai hobi terbaharu iaitu bercucuk tanam di halaman belakang rumahnya. Pokok tebu dan betik antara tanaman yang terdapat di kebun kecilnya. – MUHAMMAD IQBAL ROSLI

Bahagia bukan pameran – Adira

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETIAP wanita pasti mengimpikan sebuah perkahwinan dan keluarga harmoni tanpa dicemari titik hitam yang boleh memusnahkan keindahan hubungan suami isteri. Impian sama turut diimpikan penyanyi Adira Suhaimi yang sentiasa mengejar dan berusaha mengekalkan kemanisan bahagia dalam rumah tangga.

Namun, langit tidak selalunya indah. Adakala, mega mendung berarak bertiup jua. Namun jika sudah ditakdirkan mentari takkan pulang sebelum senja, sinar harapan tetap menyiramkan sentosa.

Metafora sebegitu mungkin sejuring bayangan bagi sebuah gambaran suhu perkahwinan Adira yang dibina bersama seorang ahli perniagaan, Datuk Seri Adnan Abu atau lebih dikenali dengan nama Datuk Red.

Sehingga suatu ketika, hampir sahaja ikatan yang dibina sejak Disember 2015 hampir terlerai, namun memikirkan masa depan kasih sayang antara mereka bertaut semula.

Sungguh, Adira mengakui kehidupan kini lebih bahagia dan anak-anak menjadi pengubat duka lara sekiranya gelora tiba-tiba membadai jiwa.

Saat dirinya ditebak tentang status hubungan bersama suami, Adira tersenyum tenang. Dari wajahnya, tiada keresahan yang cuba diselindungkan.

“Semuanya baik. Alhamdulillah, saya bahagia,” jawabnya ringkas.

Bagi Adira juga, biarlah titik hitam pada Oktober tahun lalu itu tidak diungkitkan berkali-kali.

Meskipun mengakui sedang diulit bahagia, seperkara yang ketara dalam rutin kehidupannya sekarang, jarang benar Adira dilihat memuat naik foto-foto mesra atau romantis bersama suami dalam media sosial miliknya.

 

ADIRA tidak kisah diberi jolokan Ratu Soundstrack kerana percaya impak lagu yang dijadikan runut bunyi drama atau filem lebih kuat dan mudah meresap ke jiwa penonton.

 

Emosi

Disebabkan kurang mempamerkan kebahagian kepada umum, banyak pula suara sinis yang berpendapat hubungan Adira dan suaminya kini tidaklah semanis yang disangka.

Bahkan lebih teruk, ada juga segelintir pihak mendakwa kehidupannya dikawal oleh sang suami.

“Instagram ialah hak dan platform peribadi. Saya lebih gemar berkongsi mengenai diri saya sendiri berbanding tentang suami dan anak-anak.

“Jadi, saya menolak dakwaan yang mengatakan hidup saya dikawal dan dikongkong oleh suami. Dia juga tidak pernah campur tangan dengan kandungan media sosial saya.

“Mulut orang sukar hendak kawal, muat naik status dan gambar pun jadi masalah, jarang tunjuk kebahagiaan pun salah. Pening dibuatnya,” ujarnya lagi.

Tambah penyanyi kelahiran Akademi Fantasia musim kelapan (AF8), dia seboleh-bolehnya dia tidak mahu pengguna media sosial yang terlalu banyak berkongsi perihal rumah tangga kepada umum.

 

IBU kepada Anggrek, 3, Asan, 2, dan Anggun, 1, itu tidak merancang untuk menambah cahaya mata selepas usianya melebihi 30 tahun.

 

Malah dia juga enggan menjadi wanita yang sering mencurahkan perasaan, sedih atau berkongsi keretakan rumah tangga dalam media sosial.

“Saya bukan jenis yang suka muat naik status atau menulis kapsyen-kapsyen beremosi dalam media sosial. Balas sana sini, saya tak pernah buat begitu sebab itu bukan diri saya.

“Namun, jika ada yang melampaui batas sehingga menjadi tular dan menganggu emosi, saya akan balas demi membela diri,” katanya.

Tambah ibu kepada tiga cahaya mata itu: “Jika ada masalah dalam rumah tangga, biar pasangan itu sahaja yang tahu. Tak perlulah hendak dihebohkan kepada orang lain, aib keluarga perlu dijaga.”

Pelantun lagu Takdir Tercipta itu mengakui banyak belajar daripada kesilapan lalu. Paling menginsafkan, dia belajar bagaimana untuk mengawal kemarahan.

“Pengalaman lalu membuatkan saya lebih kenal siapa diri saya. Sabar ialah kunci utama hidup saya ketika ini.

 

ADIRA enggan mengulas kisah tuntutan cerai yang pernah difailkannya pada akhir tahun lalu kerana tidak mahu lagi rumah tangganya menjadi buah mulut masyarakat.

 

“Bahkan, sabar juga mengajar saya untuk tidak terlalu melontarkan emosi ketika marah sedang membuak di dalam dada,” tutur penyanyi berusia 29 tahun itu.

Maaf

Dalam kesibukan menguruskan rumah tangga, karier nyanyian tetap diadeni seperti biasa.

Pemilik jolokan Ratu Soundtrack itu giat mempromosikan single baharumnya berjudul Maaf yang turut dijadikan runut bunyi bagi drama Maaf Tak Indah lakonan Azar Azmi dan Azlee Khairi.

“Maaf dilancarkan pada awal tahun tetapi popular selepas Perintah Kawalan Pergerakan sehingga berjaya menduduki beberapa carta lagu tempatan.

“Alhamdulillah, semua sukakan lagu ini. Video muzik Maaf juga telah dilancarkan pada bulan Ogos lalu. Jangan lupa tonton ya,” tutupnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN