fbpx

Banteras Covid-19 tugas kita bersama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambaer hiasan
WARTAWAN EKSEKUTIF, NUZULSHAM SAMSUDDIN

SEJAK tiga bulan lalu trend penularan kes Covid-19 keba­nyakannya merekodkan peningkatan.

Sudah tentu antara menjadi sasaran ialah negeri-negeri yang diklasifikasikan sebagai zon me­rah.

Apa yang lebih mengejutkan minggu lalu, kes Covid-19 telah dikesan di beberapa pusat beli-belah terkemuka di sekitar Lembah Klang.

Setakat semalam, terdapat 101 lagi kes dikesan termasuk Kluster Apas di Selangor menjadikan jumlah keseluruhan kes positif sebanyak 11,135.

Dengan pertambahan kes tiga angka setiap hari, siapakah yang harus dipersalahkan. Adakah kerajaan, kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia atau pemilik premis? Jawapannya mudah, ia sebenarnya berpunca daripada diri kita sendiri.

Tidak keterlaluan rasanya jika dikatakan ramai yang masih memandang mudah terhadap peraturan baharu bagi mencegah penularan wabak maut tersebut.

Pakar Sosial yang juga Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris, Profesor Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, mungkin tidak semua kerana masih ramai yang patuh prosedur operasi standard (SOP).

Ujarnya, melihat senario itu sudah sampai masanya masyarakat mengambil alih ‘tugas’ pihak berkuasa.

Caranya mudah apabila masyarakat kini perlu bertindak secara agresif dan holistik demi memastikan setiap daripada kita mematuhi SOP.

“Sebagai contoh jika kita ke pusat beli-belah atau stesen mi­nyak ada di antaranya tidak mahu mematuhi SOP, jadi kita sebagai masyarakat boleh bertindak sendiri dengan menegur individu yang gagal mematuhi peraturan.

“Cara menegur itu pula hendaklah dibuat dengan baik mengikut situasi,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, beliau sendiri pernah melalui pengalaman apabila ditegur seorang wanita yang menyuruhnya menjauhkan diri bagi mengekalkan penjarakan fizikal di sebuah kedai makan.

Dengan hati terbuka Mohammad Shatar berkata, beliau hormat dengan teguran wanita itu kerana menegur dengan cara yang sangat baik demi keselamatan umum.

Tambah beliau, setakat ini tiada pengkhususan golongan yang tidak mematuhi peraturan kerana sikap itu dilihat dilakukan semua golongan dan lapisan pe­ringkat umur.

“Selain itu, apa yang dilihat antara alasan-alasan mereka gagal mematuhi peraturan SOP ialah penat beratur, masalah te­lefon bimbit untuk membuat imbasan dan tidak sabar memasuki premis.

“Persoalannya mengapa ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac lalu, begitu ramai yang sanggup mematuhinya termasuk pada pe­rintah berkurung? Jawapannya mudah kerana masyarakat ketika itu mahu melihat sendiri penurunan kes secara drastik dengan pengorbanan perintah kurung yang telah dibuat,” tambahnya.

Mohammad Shatar juga memberitahu, sepanjang PKP dan perintah berkurung selama tiga bulan, kita sendiri sudah belajar peritnya situasi itu sehingga memberi kesan terhadap semua industri serta ekonomi negara.

“Sebenarnya, pencegahan wabak itu bermula pada diri kita sendiri,” katanya.

Justeru katanya lagi, masyarakat sendiri perlu prihatin dengan keadaan sekeli­ling tanpa mengira bangsa bagi mencegah virus ini dari merebak dengan berpegang teguh pada slogan ‘kita jaga kita’.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI