fbpx

Aneka Jaringan sasar jana RM46.16 juta daripada IPO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Aneka Ja­ringan Holdings Bhd. (Aneka Jaringan) menyasarkan untuk menjana sejumlah RM46.16 juta daripada cadangan tawaran awal permulaan (IPO) di pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd.

Pakar dalam pembinaan asas dan cerucuk bangunan itu dija­dualkan disenarai pada 20 Oktober ini dengan permodalan pasaran RM177.57 juta.

Cadangan tersebut akan melibatkan penawaran 139.89 juta saham baharu, dengan 26.906 juta saham ditawarkan kepada orang awam pada harga 33 sen sesaham bermula semalam dan permohonan runcit akan ditutup pada 9 Oktober ini.

Pengarah Urusannya, Pang Tse Fui berkata, RM17.3 juta daripada wang yang dijana itu akan digunakan untuk pembelian pelantar penggerudian dan kren, RM24.26 juta untuk pembayaran hutang, manakala RM4.6 juta lagi bagi perbelanjaan IPO.

“Pembinaan asas bangunan merupakan kerja yang spesifik serta khusus dalam industri pembinaan dan hanya terdapat segelintir kecil pemain yang pakar dan berpengalaman dalam industri.

“Dalam tempoh 20 tahun, kami telah membina reputasi kukuh berasaskan inovasi, kua­liti kerja dan penyampaian tepat pada masanya menerusi projek seperti Pavilion KL, Bukit Bintang City Centre dan Lebuh raya Pantai Barat.

“Kami juga telah bertapak kukuh di Indonesia dengan 21 peratus daripada keuntungan kasar untuk tempoh sembilan bulan tahun ini datang dari sana,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena pelancaran prospektus Aneka Jari­ngan di sini semalam.

Antara klien utama Aneka Jaringan dan anak syarikatnya ialah IJM Construction Sdn. Bhd., MRCB Builders Sdn. Bhd. dan PT Waskita Karya dari Indonesia.

Menurut Tse Fui, pihaknya kini menyasarkan pasaran Si­ngapura dan telah pun mewujudkan cawangan di sana namun masih dalam proses memohon lesen pembinaan.

“Proses ini dijangka selesai hujung tahun.

“Kami akan mula membida projek di Singapura menjelang suku pertama tahun depan de­ngan kerjasama rakan kongsi dan menyasarkan projek bernilai sekitar S$100 juta (RM304 juta),” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI