fbpx

Tempoh moratorium berakhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) memberi jaminan untuk memantau rapi amalan bank-bank dalam urusan menawarkan bantuan bayaran balik pinjaman ekoran berakhirnya moratorium secara automatik bermula semalam.

Menurut bank pusat, peminjam yang menghadapi kesukaran berurusan dengan bank boleh menghubungi BNMTELELINK melalui laman web, [email protected]

Kemudahan moratorium selama enam bulan bermula April lalu telah memberi manfaat kepada lebih daripada tujuh juta peminjam individu dan lebih daripada 240,000 peminjam Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

 

Sehingga kini, pihak bank te­lah menerima kira-kira 500,000 permohonan bantuan bayaran balik pinjaman dan meluluskan 98 peratus daripadanya.

“Bank-bank berkenaan juga secara berasingan telah bertindak menghubungi lebih daripada dua juta peminjam menerusi te­lefon, e-mel dan sistem pesanan ringkas untuk menawarkan bantuan bayaran balik pinjaman.

“Bagi permohonan yang masih diproses, bank-bank terbabit telah memberi komitmen untuk memaklumkan keputusan permohonan tersebut dengan secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

Selain itu, bank pusat menasihati peminjam yang mampu menyambung semula bayaran balik pinjaman bulanan agar te­rus berbuat demikian kerana ini dapat mengurangkan kos hutang dan pinjaman mereka secara ke­seluruhan.

“Meskipun keadaan ekonomi secara amnya bertambah baik tetapi mungkin ada sesetengah daripada peminjam mungkin akan menghadapi cabaran membuat bayaran balik pinjaman jika keadaan mereka sebaliknya berubah pada bulan akan datang.

“Jika perkara ini berlaku, pe­minjam masih boleh berurusan dengan bank untuk berbincang mengenai pengaturan bayaran balik pinjaman,” katanya.

Jelas bank pusat, semasa tempoh tersebut, institusi perbankan akan terus menawarkan pelbagai bentuk bantuan bayaran balik pinjaman kepada peminjam.

Selain itu, peminjam boleh mendapatkan panduan dan pilihan bantuan alternatif daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Bank pusat berkata, industri perbankan juga telah bertindak aktif dan terus komited membantu isi rumah dan perniagaan yang memerlukan bantuan susulan berakhirnya kemudahan moratorium itu.

Bank-bank terbabit juga memperkenalkan pelbagai pakej untuk membantu peminjam terjejas termasuk lanjutan mo­ratorium secara bersasar serta fleksibiliti bayaran balik pinjaman bagi membantu peminjam berdasarkan keadaan kewangan mereka.

Menurut BNM, sesi ini terma­suk kempen bantuan pembayaran balik pinjaman di seluruh negara serta perbincangan dan interaksi secara langsung dengan pelbagai kumpulan berkepentingan termasuk persatuan-persa­tuan PKS.

“Bagi melancarkan proses permohonan ini, institusi perbankan telah memudahkan langkah permohonan seperti membolehkan permohonan secara dalam talian dan melanjutkan waktu urusan cawangan bank (termasuk hujung minggu),” kata bank pusat.

POPULAR