fbpx

Cubaan keluar balak tanpa permit tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Oleh SHAARANI ISMAIL

IPOH – Jabatan Perhutanan Perak berjaya menumpaskan percubaan membawa keluar pelbagai jenis spesies kayu balak bernilai RM15,000 tanpa kebenaran di Kampung Padang Kunyit, Gerik, Ahad lalu.

Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, sepasukan penguatkuasa dari Pejabat Hutan Daerah Hulu Perak berjaya menahan sebuah lori dengan muatan pelbagai spesis kayu dipercayai tanpa lesen dan kebenaran selepas melakukan intipan dan rondaan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Perhutanan Perak, pasukan penguatkuasa telah menahan seorang pemandu lelaki dan menyita sebuah lori berserta muatan kayu pelbagai spesies.

“Kesemua barang rampasan yang disita kemudian dibawa ke Stor Rampasan Bandariang, Gerik untuk tindakan dan siasatan lanjut manakala rampasan dianggarkan bernilai RM15,000,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Katanya, satu laporan polis juga sudah dibuat di Balai Polis Gerik, manakala pemandu lori yang ditahan, dilepaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangan.

Jelasnya lagi, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 68(1) dan Seksyen 84 Akta Perhutanan Negara 1984 kerana membawa hasil hutan tanpa pas pemindah serta memiliki hasil hutan tanpa kebenaran.

“Sabit kesalahan individu terbabit boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Justeru Jabatan Perhutanan Perak ingin memberi peringatan kepada individu dan orang awam bahawa jabatan akan tetap menguatkuasa Akta Perhutanan Negara 1984 melalui pemantauan dan rondaan yang dibuat walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI