fbpx
Gambar hiasan

84 kenderaan dicuri setiap hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Sebanyak 84 kenderaan termasuk motosikal dilaporkan hilang dicuri setiap hari sepanjang tahun 2019.

Daripada jumlah tersebut, kes curi motosikal mencatatkan rekod tertinggi iaitu sebanyak 22,507 kes dalam tempoh 12 bulan itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, setiap tahun lebih 10 sindiket membabitkan kes curi kenderaan ditumpaskan.

Katanya, rata-rata mereka yang diberkas membabitkan sindiket dalam negara serta mereka yang dipercayai dalang menyeludup keluar kenderaan ke negara jiran.

Jelas Huzir, tiga punca utama kes curi kenderaan berlaku iaitu kereta lama yang susah mendapati alat ganti, kereta baru tetapi alat gantinya mahal serta kenderaan tersebut di seludup ke negara luar menerusi pelabuhan dan sempadan tanah air di utara dan selatan.

“Bagi motosikal selain dileraikan untuk alat ganti, ia juga dijual untuk kegunaan di kawasan ladang di pedalaman serta lumba haram,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Mengulas mengenai statistik kes curi kenderaan, Huzir memberitahu sebanyak 6,818 kereta pelbagai jenis dilaporkan dicuri bagi tahun 2019 diikuti dengan motosikal (22,507) dan van serta kenderaan berat (1,550).

“Kes curi kenderaan 2019 menunjukkan penurunan berbanding tahun 2018 iaitu sebanyak 4,272 kes bagi motosikal, kereta (595) dan van serta kenderaan berat (211).

“Selain itu, sejak kebelakangan ini syarikat insurans dikatakan mampu jimat RM20 juta berhubung kes ganti rugi hilang kenderaan,” ujarnya. – K! ONLINE