fbpx

Perak sasar 5 juta pelancong hingga akhir tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nolee Ashilin Mohamed Radzi (kiri) menyampaikan sijil penyertaan kepada Zuhuri Ahmad pada Majlis Penutup Program Semarak Pelancongan Perak 2020 di Lost World Of Tambun, Ipoh. Foto ZULFACHRI ZULKIFLI.

IPOH – Kerajaan negeri Perak mensasarkan sekurang-kurangnya lima juta pelancong akan berkunjung serta bermalam di negeri itu sehingga berakhirnya hujung tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, sasaran tersebut dilihat sesuai memandangkan keadaan negara yang sedang dilanda pandemik Koronavirus (Covid-19) ketika ini.

“Pada tahun lalu, negeri Perak menerima 10.1 juta pelancong domestik tertinggi di dalam negara berdasarkan laporan Survei Pelancongan Domestik 2019 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.

“Jadi pada tahun ini, kita mensasarkan sekurang-kurangnya lima juta pengunjung datang melancong ke Perak sehingga penghujung tahun ini,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penutup program Semarak Pelancongan Perak 2020 di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC)  Perak, Asrul Zakaria dan Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa.

Tambah Nolee Ashilin, bermula Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) Jun lalu, lebih 90,000 bilik hotel daripada 68 sampel hotel seluruh negeri Perak telah ditempah.

“Sebanyak 1,500 baucar pelancongan #TravelPeraklah Fasa I juga telah diedarkan kepada pengusaha pelancongan bagi merancakkan lagi sektor perlancongan.

“Memandangkan ia mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada pelancong dan pengusaha, kerajaan negeri akan mengagihkan baucar pelancongan #TravelPeraklah Fasa II dengan tambahan 3,000 keping baucar pada Oktober depan,” katanya.

Mengulas mengenai keadaan semasa Covid-19 di dalam negara, Nolee Ashilin meminta semua pihak agar memainkan peranan masing-masing terutamanya pemain industri dan orang ramai agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan dalam usaha mencegah penularan wabak tersebut.

“Kerajaan negeri berharap semua pihak yang terlibat dapat mematuhi semua SOP yang ditetapkan agar kita dapat memastikan negeri Perak sentiasa berada dalam zon hijau.

“Pemain industri juga perlu memainkan peranan dengan memberikan pendidikan kepada para pengunjung agar tempat-tempat yang dilawati berada dalam keadaan selamat untuk semua orang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI