fbpx

Pahang berjaya tarik pelaburan sebanyak RM9.38 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kuantan 188, formerly known as Menara Teruntum, is the latest landmark to be completed in the East Coast Economic Region.

KUALA LUMPUR – Pahang te­lah berjaya menarik pelaburan sebanyak RM9.38 bilion daripada 40 projek, kata Ketua Pegawai Eksekutif, Pelan Induk Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Baidzawi Che Mat.

Menurut beliau, di bawah Pelan Induk ECER 2.0, dari tahun 2018 hingga 2025, Pahang me­ngunjurkan pelaburan sebanyak RM31 bilion.

“Melalui pelaburan dan projek berkenaan, ia telah berjaya mewujudkan lebih daripada 8,300 peluang pekerjaan dan 760 peluang keusahawanan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan ECER di Kuantan semalam.

Mesyuarat tersebut dipe­ngerusikan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Baidzawi menjelaskan, di bawah program entrepreneur ECER, seramai 1,196 usahawan telah dibangunkan dan sebanyak 2,880 peluang pekerjaan telah diwujudkan.

Menerusi program Penjana-ECERDC, yang dikenali sebagai Enhanced – Train and Place (ETEP) pula, agensi tersebut menyasarkan untuk meningkatkan kemahiran seramai 1,500 belia menganggur dan juga bagi mereka yang diberhentikan kerja akibat pandemik Covid-19.

Tambah beliau, daripada segi pembangunan modal insan, lebih 12,400 warga tempatan termasuk Orang Asli telah menyertai dan mendapat manfaat daripada program Latihan Akademik empower ECER (10,232 orang) dan latihan Kemahiran dan Keusahawanan empower ECER (2,255 orang).

Selain itu, ECERDC telah mengambil pelbagai pendekatan untuk membolehkan pertumbuhan pelaburan.

Tambah Baidzawi, antara usahanya ialah meningkatkan kesalinghubungan dan infrastruktur, menyediakan pakej insentif yang menarik, memudahcara pelaburan serta melaksanakan program pembangunan modal insan bagi membangunkan bakat tempatan yang bersedia untuk menyertai industri.

Menurut beliau, antara projek infrastruktur yang akan dilaksanakan ialah pembinaan saluran paip bagi bekalan air dari Kemaman, Terengganu ke Gebeng yang akan bermula pada bulan Jun 2021.

“Projek ini dijangka dapat meningkatkan tarikan Gebeng kepada para pelabur,” ujarnya.

Selain itu, Baidzawi menerangkan, manfaat tambahan untuk pelabur di Pahang ialah kedudukan strategik Pelabuhan Kuantan yang menjadikan pelabuhan ini sebagai pintu masuk yang ideal untuk menembusi pasaran ASEAN dan Asia Pasifik.

“Sektor logistik dan per­khidmatan merupakan kelompok ekonomi baharu sebagai pengupaya pertumbuhan sosio ekonomi di ECER yang akan mewujudkan peluang pekerjaan,” terangnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI