fbpx
Ab. Rashid (dua kiri) bersama pegawainya menunjukkan rampasan ubat batuk di Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat hari ini.

Heroin, pil Yaba dan ubat batuk dirampas dalam dua serbuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh YATIMIN ABDULLAH

TUMPAT – Polis merampas 29 gram dadah jenis heroin, enam biji pil Yaba dan 2,200 ubat batuk dalam dua serbuan berasingan di Wakaf Bharu dan Cabang Empat di sini minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab. Rashid Mat Daud berkata, kesemua barang rampasan yang dijalankan pada Khamis dan Sabtu lalu itu dianggarkan bernilai RM35,060.

Katanya, serbuan pertama dilakukan pada pukul 2.10 petang di sebuah premis di Wakaf Bharu sebelum menemui 29 gram dadah jenis heroin dan enam biji pil Yaba bernilai RM13,060.

Menurutnya, polis turut menahan tiga lelaki berusia antara 30 hingga 48 tahun yang dipercayai menjadi pengedar dadah di kawasan tersebut sejak sebulan lalu.

“Hasil saringan air kencing yang dilakukan keatas ketiga-tiga suspek mendapati kesemua mereka positif dadah jenis methamphetamine dan opiat.

“Bukan itu sahaja, kesemua suspek turut mempunyai rekod jenayah lampau berkait kes dadah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat di sini hari ini.

Ab. Rashid memberitahu, kesemua suspek direman selama sepuluh hari bermula 25 September lalu bagi membantu siasatan.

Sementara itu, bagi serbuan kedua, katanya, polis telah merampas 2,200 botol cecair dipercayai ubat batuk yang dianggar berjumlah RM22,000 di simpang tiga Kampung Periuk dekat Chabang Empat pada pukul 6.45 petang.

“Rampasan itu dilakukan selepas anggota dari unit kereta peronda polis (MPV) telah menemui sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang telah ditinggalkan di kawasan berkenaan.

“Pemeriksaan terhadap kenderaan itu membawa kepada penemuan botol ubat batuk itu,” katanya.

Ab. Rashid berkata, sebelum menemui kenderaan itu, anggota unit MPV telah terserempak dengan kenderaan sama yang dipandu dalam keadaan mencurigakan di Kampung Bahagia di sini pada pukul 6.20 petang.

Tambahnya, polis masih mengesan suspek yang terlibat dalam kes tersebut.

Kes pertama disiasat mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori manakala kes kedua disiasat di bawah Seksyen 12(2) akta sama. – K! ONLINE

POPULAR