fbpx

Bekas juara silat dunia didenda RM3,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nor Hasmizan didenda RM3,000 di Mahkamah Sesyen Shah Alam kerana menerima rasuah RM1,000 bagi membenarkan kafe siber beroperasi melebihi masa.

SHAH ALAM – Bekas juara silat dunia yang merupakan pembantu penguat kuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan menerima suapan RM1,000 daripada pemilik kafe siber, tiga tahun lalu.

Hakim Rozilah Salleh turut memerintahkan tertuduh, Nor Hasmizan Abdullah,43, yang memenangi emas dalam kejohanan silat dunia pada 2007 itu dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Rozilah dalam penghakimannya menegaskan sebagai penguat kuasa harus menjalankan tugas dengan amanah bukan mengambil kesempatan.

“Patutnya, kamu sendiri cakap (kepada perasuah) saya tidak boleh terima,undang-undang harus dijalankan selain melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis.

“Kamu fikir apa? ambil RM1,000 atau RM1 bagi makan isteri, anak dan ibu itu tidak berkat. Siapa lagi negara nak minta bantu kecuali kamu sebagai penguat kuasa,” tegas Rozilah.

Mengikut pertuduhan pilihan, bapa kepada tiga orang itu sebagai pembantu penguatkuasa MPK telah menerima wang tunai sebanyak RM1,000 daripada pemilik kafe siber berusia 44 tahun sebagai balasan tidak undang-undang terhadap premis itu.

Perbuatan itu dilakukan di Klang Sentral di antara pukul 1.50 hingga 2 pagi pada 21 Oktober 2017.

Justeru, dia boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan sekiranya disabitkan kesalahan.

Peguam Aiman Abdul Rahman mewakili tertuduh menjelaskan bahawa anak guamnya telah menyesali dan insaf atas perbuatannya selain itu merupakan kesalahan pertamannya.

“Anak guam saya merupakan bekas juara silat sedunia 2007 telah menyertai MPK sejak 13 tahun lalu dengan gaji pokok RM2,200.

“Dia juga dikenakan tindakan dalaman seperti larangan mengambil kerja tambahan (overtime) serta tiada kenaikan gaji dan pangkat susulan kes ini sejak 2017,” katanya.

Nor Hasmizan yang turut diberikan kesempatan untuk merayu bagi dirinya sendiri oleh mahkamah menambah, sekiranya didenda melebihi RM2,000 bakal kehilangan kerjanya.

“Sekarang zaman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) amat sukar mencari kerja selain perlu menanggung isteri, anak-anak dan ibu,” ujarnya.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya SPRM Fadhli Ab. Wahab menegaskan tugasnya harus memastikan orang awam patuhi undang-undang dan memohon hukuman sewajarnya.

“Sebagai penguat kuasa, tertuduh gagal laksanakan amanah kerana penerimaan RM1,000 dengan membenarkan kafe siber itu beroperasi melebihi masa ditetapkan kira-kira pukul 12.30 tengah malam.

“Kesan kesalahan itu boleh mengundang anasir-anasir jahat yang membawa kepada jenayah,” katanya. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI