fbpx
Ismail Sabri

6,344 PATI ditahan sejak 1 Mei lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR

PUTRAJAYA – Seramai 7,389 individu termasuk 6,344 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan sejak 1 Mei hingga 28 September lalu menerusi Operasi Benteng.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah tangkapan itu, 750 adalah tekong manakala 295 lagi penyeludup.

“Operasi Benteng semalam berjaya melakukan tangkapan ke atas 29 PATI dan dua penyeludup.

“Turut berjaya dirampas sebuah bot dan empat kenderaan darat dipercayai digunakan untuk tujuan penyeludupan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, seramai 82 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan tangkapan paling tinggi seramai 46 individu membabitkan kesalahan penjarakan fizikal diikuti dengan tidak memakai pelitup muka (23).

Menurutnya, kesalahan lain yang dikesan ialah gagal menyediakan peralatan serta merekod butiran diri (12) dan aktiviti dalam kelab malam (satu).

“Daripada jumlah itu, seramai 75 individu telah dikompaun, enam direman dan seorang dijamin,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, seramai 37,133 individu pulang ke tanah air dari 24 Julai hingga 28 September lalu dan ditempatkan di 77 stesen kuarantin yang ditetapkan.

Daripada jumlah itu, seramai 8,671 individu menjalani proses kuarantin wajib manakala 106 lagi telah dihantar ke hospital.

Tambah beliau, sebanyak 18 operasi sanitasi meliputi tiga zon merah, lima zon kuning dan 10 zon hijau membabitkan lapan negeri dibuat Jabatan Bomba dan Penyelamat.

“Sebanyak lima operasi di Kedah, Sabah (empat), Pulau Pinang (dua), Pahang (dua), Sarawak (dua) dan masing-masing satu di Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan,” katanya.-K!ONLINE