fbpx
SEBANYAK 274,198 kes kemalangan direkodkan dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini. – Gambar Hiasan

Seorang maut setiap 110 minit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kadar kemalangan maut di Malaysia berada dalam keadaan membimbangkan apabila seramai 3,149 individu disahkan terkorban di atas jalan raya dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.

Ini bermakna, purata jumlah kematian yang direkodkan dalam sebulan adalah 393 orang atau bersamaan 13 orang dalam sehari atau seorang bagi setiap 110 minit.

Daripada jumlah itu, penunggang dan pembonceng motosikal menjadi penyumbang terbesar kepada kematian di jalan raya.

Lebih menyedihkan, kebanyakan kematian adalah membabitkan mereka yang berusia dalam lingkungan 18 hingga 30 tahun.

KES kemalangan menjadi antara penyumbang kepada kadar kematian rakyat Malaysia pada setiap tahun. – Gambar Hiasan

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, purata kematian disebabkan kemalangan adalah seramai 13 orang setiap hari, iaitu menurun berbanding 17 kematian dalam tempoh sama tahun lalu.

Katanya, secara keseluruhan statistik 3,149 kematian itu adalah berkurangan sebanyak 1,002 kes atau 24.1 peratus berbanding jumlah kematian bagi tahun 2019.

Dalam tempoh sama tahun lalu, kadar kematian adalah seorang bagi setiap 80 minit.

“Kes kemalangan yang dilaporkan bagi lapan bulan pertama tahun ini adalah sebanyak 274,198 kes dan daripada jumlah itu, sebanyak 2,900 kes membabitkan kematian diikuti dengan cedera parah (1,723 kes) dan kemalangan ringan (5,781 kes), manakala baki membabitkan kes kemalangan kerosakan saja.

“Kita tidak menolak kemungkinan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu menjadi punca penurunan kadar kematian dan kemalangan maut memandangkan berlaku penurunan jumlah kenderaan sehingga 60 peratus di jalan raya,” katanya kepada Kosmo!.

PENUNGGANG motosikal perlu menggunakan laluan khas yang disediakan bagi mengelak menjadi mangsa kemalangan. – Gambar Hiasan

Mengulas lanjut, beliau berkata, jumlah kematian biasanya jauh lebih tinggi berbanding jumlah kemalangan kerana kes maut adakalanya membabitkan lebih daripada satu kematian.

“Sebagai contoh, polis akan­ klasifikasikan kemalangan membabitkan dua buah kereta sebagai satu kes, tetapi jumlah individu yang maut dalam keja­dian itu ada kalanya melibatkan dua hingga tiga mangsa.

“Selain itu, ada beberapa kes di mana mangsa dilaporkan parah dan meninggal dunia ketika dirawat di hospital,” ujarnya.

Menurutnya lagi, penunggang motosikal kekal mencatat jumlah kematian tertinggi iaitu sebanyak 67.8 peratus atau 2,134 orang berbanding kenderaan lain.

“Ini diikuti dengan pemandu atau penumpang kereta (586 kematian), pejalan kaki (177 kematian) dan lori dengan 87 kematian.

“Setiap tahun trend penunggang motosikal terlibat dalam kemalangan maut kekal dengan purata 62 peratus,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Azisman menegaskan memandu melebihi had kelajuan antara punca utama berlakunya kemalangan maut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN