fbpx

SC, Bursa Malaysia lanjutkan fleksibiliti pembiayaan margin  

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Bursa Malaysia Bhd. (Bursa Malaysia) telah melanjutkan langkah-langkah bantuan sementara yang berkaitan dengan pembiayaan margin sehingga 31 Disember ini. 

Sebelum itu, langkah-langkah bantuan yang berkuatkuasa pada 27 Mac itu akan berakhir pada 30 September 2020 . 

Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam, fleksibiliti yang diberikan di bawah langkah-langkah bantuan itu akan membolehkan broker menguruskan kemudahan pembiayaan margin pelanggan mereka dengan lebih baik di samping ketidaktentuan pasaran yang berterusan akibat pandemik Covid-19 dan mengekalkan kestabilan dalam pasaran. 

“Broker juga boleh terus menggunakan budi bicara sama ada mahu atau tidak untuk meneruskan langkah jualan secara paksa kepada pelanggan dan menerima jenis jaminan lain daripada pelabur seperti bon, amanah saham, emas dan harta tidak alih untuk tujuan pembiayaan margin.

“Sebelum ini, broker juga diminta untuk membubarkan akaun margin pelanggan mereka secara automatik sekiranya ekuiti dalam akaun tersebut susut di bawah 130 peratus daripada baki tertunggak,” jelasnya. 

Menurut SC, langkah sementara ini bergantung kepada broker yang memenuhi nisbah kecukupan modal dan dana pemegang saham seperti yang dikehendaki oleh Bursa Malaysia. 

SC dan Bursa Malaysia akan terus memantau perkembangan pasaran sekuriti dan menilai kecukupan langkah-langkah yang ada untuk menyokong pasaran yang teratur dan mengurangkan potensi risiko.