fbpx

Pesawat kuasa hidrogen pertama lakukan penerbangan sulung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penerbangan sulung pesawat berkuasa hidrogen itu berjaya dilakukan dalam tempoh 20 minit. - PA

LONDON – Sebuah pesawat komersil berkuasa hidrogen pertama dunia membuat penerbangan sulungnya di sebuah kawasan di Cranfield, daerah Bedfordshire Khamis lalu, lapor akhbar Daily Star.

Pengasas syarikat ZeroAvia, Val Miftakhov berkata, penerbangan tersebut adalah sesi percubaan pertama sejak pesawat itu dibangunkan.

“Apa yang kami lakukan adalah menggantikan enjin menggunakan bahan api fosil dengan enjin elektrik berkuasa hidrogen.

“Kami turut membina infrastruktur pengisian semula untuk menghasilkan gas hidrogen yang mempunyai sifar pencemaran karbon,” katanya.

Kemudahan sokongan di darat perlu diambil berat untuk mengkomersilkan pesawat
berkuasa hidrogen. – PA

Selain itu, penerbangan selama 20 minit tersebut menyaksikan proses pelepasan yang lengkap dengan laluan standard sebelum melakukan pendaratan.

Menurut Miftakhov, pihaknya menyasarkan pembinaan pesawat itu akan siap sepenuhnya pada penghujung tahun ini.

“Orang ramai boleh pergi bercuti menaiki pesawat tanpa rasa bersalah terhadap kerosakan alam sekitar lagi dan ia dijangka boleh dicapai dalam tempoh tiga tahun lagi.

“Cabaran paling besar adalah untuk menyediakan infrastruktur di lapangan terbang yang membolehkan pesawat mengisi semula gas hidrogen,” ujarnya.

Sementara itu, Pakar Penerbangan Universiti Loughborough, David Gleave berkata, terdapat pelbagai perkara perlu diteliti dan dipersiap termasuk pembinaan infrastruktur sokongan di atas tanah.

“Ia bukan soal membina dan memastikan pesawat menggunakan enjin hidrogen ini untuk berfungsi, namun perkara paling penting ialah dari segi penyediaan kemudahan di atas tanah bagi menyokongnya.

“Kita perlu memikirkan kaedah pengisian semula bahan api pesawat kerana kemudahan yang ada sekarang tidak dapat menyokongnya dan perkara lain seperti keperluan kebakaran serta kecemasan kapal terbang,” ujarnya. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI