fbpx

Penolong pegawai tadbir USM didakwa 52 pertuduhan SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zurina didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth, Seberang Perai hari ini dengan 52 pertuduhan.

SEBERANG PERAI – Seorang penolong pegawai tadbir di Universiti Sains Malaysia (USM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth di sini hari ini atas 52 pertuduhan menggunakan jawatannya untuk suapan.

Tertuduh, Zurina Abdul Hamid, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi kesemua pertuduhan tersebut yang dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan jawatannya untuk suapan dengan mengambil tindakan apabila mengemukakan dokumen invois syarikat TZP Ventures miliknya bagi borang pesanan rasmi yang terlibat untuk pembayaran pembekalan dan perkhidmatan.

Ia melibatkan nilai keseluruhan berjumlah RM135,445.90 bagi kesemua pertuduhan berkenaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pusat Sukan dan Rekreasi USM, George Town dekat sini di antara Disember 2013 hingga Disember 2017.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohamad Azlan Basri, manakala tertuduh diwakili peguam S. Meharaj.

Kes akan disebut semula pada 4 November depan bagi serahan dokumen, manakala tertuduh dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM24,000.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport dan melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI