fbpx

Enam sut robotik di Hospital USM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Profesor Dr. Faisal Rafiq (kanan) melihat Robotik Suit Hybrid Assistive Limb (HAL) Majlis Perasmian Perkhidmatan Rehabilitasi Robotik Hospital USM hari ini.

Oleh ROSLIZA MOHAMED

KOTA BHARU – Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) menyediakan enam unit Robotic Suit Hybrid Assistive Limb (HAL) atau sut bantuan anggota badan hibrid untuk pesakit terlantar memulakan sesi rawatan bermula 8 September lalu.

Naib Canselor USM, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata, sut berkenaan diusahakan pihak Perkhidmatan Rehabilitasi Robotik universiti itu bagi merawat pesakit yang mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Beliau berkata, sut robotik berteknologi itu merupakan inovasi yang dibangunkan buat julung-julung kalinya oleh Pusat Penyelidikan Cybernics, Universiti Tsukuba, Jepun.

“Enam unit sut robotik itu melibatkan anggota badan, otak, tangan dan kaki di pusat tersebut di Hospital USM. Pesakit boleh mendapatkan rawatan sebanyak sembilan sesi untuk memulihkan aspek fizikal dan mental pesakit.

“Perkhidmatan ini mampu memberi manfaat kepada peningkatan kualiti perubatan rehabilitasi untuk pesakit terlantar akibat angin ahmar, jangkitan kuman dalam otak dan sebagainya bagi pesakit di negeri Pantai Timur,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Perasmian Perkhidmatan Rehabilitasi Robotik HUSM di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed

Hospital USM merupakan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang pertama yang menjadi pelopor bidang Rehabilitasi Robotik dengan bekerjasama dengan pihak Perkeso.

Mengulas lanjut, menurut Dr. Faisal, usaha memperkenalkan perkhidmatan itu merupakan satu titik permulaan untuk membangunkan penyelidikan dan pembangunan ke arah masa depan.

“Teknologi baharu itu melibatkan aplikasi signal bio-teknikal neuro motor yang menggabungkan kepakaran bidang kemanusiaan dan sains neuro untuk mempelopori pendekatan baharu gabungan kejuruteraan mekanikal.

“Selain itu, kita juga akan menambah bilangan perkhidmatan robotik itu mengikut keperluan pesakit dari masa ke semasa,” katanya.

Sementara itu, Mohammed Azman berkata, usaha di Hospital USM itu untuk membantu Orang Berinsurans yang mengalami kecederaan atau kekurangan daya fizikal agar dapat kembali bekerja selain mampu berdikari dalam menjalani kehidupan harian.

Katanya, teknologi itu mampu merawat pesakit yang mengalami kecederaan saraf tunjang atau otak seperti lumpuh, penyakit neurodegeneratif dan sebagainya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI