Oleh MOHD. RIFAAT ABD. HAMID
ALOR SETAR – Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kedah menerima kira-kira 150 panggilan sehari sepanjang penularan Covid-19 bagi enam kluster di negeri itu sejak dua bulan lalu.
Enam kluster tersebut adalah Kluster Sivagangga, Kluster Tawar, Kluster Muda, Kluster Sala, Kluster Telaga dan Kluster Sungai.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam (Pegawai Epidemiologi Kawalan Penyakit Berjangkit) Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah, Dr. Sunita Abd. Rahman berkata, panggilan melibatkan luahan penduduk yang ingin mendapatkan bantuan selain maklumat berkaitan kesihatan serta prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung jangkitan wabak itu.
Katanya, kakitangan JKN memulakan tugas pada pukul 7.30 pagi hingga 10 malam bagi menjawab setiap panggilan termasuk menjaga kerahsiaan pemanggil dengan memperincikan dan menjawab setiap permasalahan diajukan.
“Ramai ibu bapa, guru serta pelajar sendiri yang menghubungi untuk bertanya tentang keputusan saringan Covid-19 yang dilakukan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengulas lanjut, menurut Sunita, jumlah panggilan meningkat secara mendadak selepas Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran dikuatkuasakan di Kota Setar pada 11 September lalu.
Beliau berkata, keadaan itu berlaku berikutan ramai penduduk di Kota Setar disaring berbanding kluster-kluster lain di negeri ini.
“Peningkatan kes secara mendadak membabitkan Kluster Sungai menyebabkan kakitangan JKN terpaksa bertugas hingga lewat malam bagi mengumpul data terkini untuk disalurkan ke CPRC peringkat kebangsaan.
“Bagaimanapun petugas di sini sentiasa bersiap sedia fizikal dan mental yang mana kesemua mereka sangat komited untuk melaksanakan tugas,” katanya.
Bagi yang ingin mendapatkan maklumat mengenai Covid-19, mereka boleh menghubungi CPRC di talian 04-7741174/7742371 atau menerusi email [email protected]! ONLINE














