fbpx
PAk Ya pernah mendapatkan rawatan ramai bomoh untuk merawat masalah kesihatan yang dihadapinya. – GAMBAR HIASAN

Muntah darah hitam disantau rakan sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENGENANG kembali kisah yang berlaku lebih 40 tahun lalu membuatkan seorang warga emas yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Ya berasa syukur kerana masih diberi kesihatan yang baik untuk meneruskan kehidupan.

Ini kerana, sewaktu berumur awal 20-an, Pak Ya pernah merasakan usianya mungkin tidak panjang.

Hidupnya ketika itu penuh dengan penderitaan setelah disantau atau disihir oleh rakannya sendiri.

“Pada waktu itu, apa yang saya minta adalah untuk mati kerana sudah tidak tahan dengan dugaan tersebut.

“Saya tidak sangka akan disantau oleh rakan yang saya kenali sejak kecil lagi,” ujarnya yang menetap di Perak kepada Panorama.

Pak Ya menjelaskan, sejak kecil dia merupakan anak yatim yang kematian bapa dan hanya dibesarkan oleh ibunya.

Memandangkan dia berasal daripada keluarga kurang berkemampuan, dia berusaha untuk belajar bersungguh-sungguh.

Mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke sebuah maktab perguruan rupanya dicemburui oleh kawannya sendiri.

“Pernah sekali kawan saya itu menyindir saya supaya tidak perlulah belajar bersungguh-sungguh kerana kehidupan saya tidak akan ke mana dan akan bekerja di kampung sahaja.

“Disebabkan ‘cabaran’ kata-katanya itu, saya tekad belajar bersungguh-sungguh untuk mengubah nasib keluarga,” katanya.

Setelah mendapat tawaran melanjutkan pengajian, penduduk kampungnya terkejut dan ramai yang mengucapkan tahniah.

Namun, tidak berapa lama selepas mengikuti pengajian, kehidupan Pak Ya berubah tidak seperti biasa apabila dia mula sering muntah darah.

“Darah itu berwarna hitam. Pada mulanya saya ingatkan itu perkara biasa sahaja. Tetapi apabila tiba waktu malam, saya mengalami kesukaran untuk tidur pula.

“Ibu saya pada ketika itu sudah berasa susah hati kerana mengenangkan bagaimana bapa saya meninggal dunia juga kerana disantau. Ibu saya menjelaskan, ayah saya juga pada mulanya muntah darah berwarna hitam sebelum meninggal dunia,” tuturnya.

Tambah Pak Ya, dia juga ada pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut tetapi doktor menjelaskan dia sihat dan tidak menghidap sebarang penyakit.

Katanya, badannya juga terasa seperti dicucuk-cucuk dengan benda tajam setiap malam dan berat badannya susut dengan begitu banyak.

 

DISEBABKAN rasa cemburu, sesetengah orang sanggup melakukan kejahatan kepada rakan sendiri termasuk dengan melakukan sihir atau santau. – GAMBAR HIASAN

 

Pada waktu itu, melihat kesakitan yang dialaminya. ibunya menghalang dia daripada meneruskan pengajian.

Tetapi Pak Ya tekad untuk tetap meneruskan pengajian kerana dia tahu itulah satu-satunya cara untuk mengubah masa hadapan keluarganya.

Cerita Pak Ya, dia juga pernah pergi mendapatkan rawatan secara tradisional bagi mengubatinya penyakitnya itu.

Salah seorang bomoh yang merawatnya menyatakan bahawa Pak Ya terkena buatan orang.
“Bomoh tersebut tidak menyatakan siapa orang itu tetapi berdasarkan petunjuk yang diberikan olehnya, saya dapat meneka siapa yang menghantar santau kepada saya.
“Saya masih ingat, saya dijemput oleh rakan saya itu untuk datang ke rumahnya bagi menyambut hari jadinya. Ketika tetamu lain mengambil makanan sendiri, saya diberikan makanan sama tetapi dibawakan khas dari dapur,” ujarnya.

Tambahnya, tanpa sebarang prasangka dia memakan makanan tersebut.

Namun, berapa hari selepas itu dia mula muntah darah dan berasa tidak sihat.

Sewaktu mengikuti pelajaran, rasa kesakitannya masih tidak hilang dan berat badannya pula susut hampir 15 kilogram.

Ceritanya, sepanjang disantau, selera makannya juga hilang. Selain itu, dia juga sering bermimpi perkara-perkara yang aneh sewaktu tidur.

Pak Ya menjelaskan, dia juga telah berjumpa dengan ramai bomoh bagi mengubatinya.

“Sampai ke satu tahap, ketika bercuti pulang ke kampung, ibu saya telah menghantar saya untuk tinggal bersama seorang bomoh selama seminggu untuk tujuan rawatan.

“Saya juga pernah diberi minum air yang direndam dengan taring harimau untuk berubat,” ujarnya.

Terang Pak Ya, hampir empat tahun dia menderita akibat disantau oleh rakannya itu.

Dia sendiri merasakan umurnya tidak akan panjang dan pasti akan mati pada bila-bila masa.

Namun, semuanya berubah setelah dia mendapat rawatan daripada seorang ustaz.

“Ustaz itu menegaskan, hidup dan mati semuanya kerja Tuhan. Selagi belum sampai waktu yang telah ditetapkan olehNya seseorang itu tidak akan mati.

“Ustaz itu mengubati saya dan dia mengajar beberapa amalan untuk saya amalkan bagi mengubati masalah tersebut,” katanya.

Tambahnya, dia kemudian kembali sihat dan kesakitan yang dirasainya sebelum itu juga beransur pulih.

Sehingga kini, Pak Ya masih tidak dapat melupakan kisah yang dialaminya itu dan tidak menyangka seorang kawan sanggup melakukan perbuatan keji itu terhadapnya.

BERITA BERKAITAN