fbpx

Anggota PGA cedera diseret kenderaan sindiket penyeludup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat (tengah) bersama pegawainya menunjukkan dua gambar suspek dikehendaki selepas melarikan diri dalam kejadian kes melibatkan anggota PGA telah dilanggar semasa menjalankan tugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini. Foto ZULHANIFA SIDEK

Oleh ROSLIZA MOHAMED

KOTA BHARU – Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 cedera selepas diseret kenderaan pacuan empat roda yang dipandu anggota kumpulan penyeludup sewaktu menjalankan tugas di Kampung Lubok Setol dekat Rantau Panjang di sini kelmarin.

Dalam kejadian pukul 4 pagi itu, anggota PGA berusia 30 tahun tersebut cedera di paha kanan, kelopak mata kanan dan siku selepas diseret sejauh hampir 100 meter.

Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, sewaktu kejadian, mangsa dan seorang lagi anggota PGA sedang menjalankan tugas rondaan sebelum terserempak dengan dua kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu Trooper dan Mitsubishi Pajero di Kampung Limau Purut dekat Rantau Panjang.

Katanya, anggota PGA mengarahkan supaya kedua-dua pemandu berhenti dan mereka akur sebelum menghentikan kenderaan bahu jalan.

“Ketika mendekati kenderaan Mitsubishi Pajero itu, suspek bertindak agresif dengan memecut kenderaan berkenaan. Insiden itu menyebabkan anggota PGA melepaskan dua tembakan amaran terhadap mereka.

“Seorang anggota PGA cuba berpaut pada pintu kenderaan sebelum dia diseret sejauh hampir 100 meter dan terjatuh akibat kenderaan itu terbabas merempuh tiang papan tanda,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Menurut Shafien, sebuah lagi kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu Trooper turut bertindak merempuh bahagian belakang kereta jenis Proton Wira yang dinaiki dua anggota PGA itu sebelum melarikan diri.

Katanya, susulan daripada kejadian itu, polis berjaya menahan tiga suspek iaitu seorang daripada mereka yang dipercayai pemandu Mitsubishi Pajero dan dua lagi anggota sindiket itu.

“Suspek pertama berusia 26 tahun ditahan di rumahnya di kampung tersebut pukul 10 malam. Hasil soal siasat, polis berjaya menahan suspek dua lagi suspek berusia 40 dan 45 tahun pada pukul 12 tengah hari tadi.

“Seorang daripada suspek positif heroin, manakala dua lagi mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan kes dadah,” katanya.

Menurut Shafien, siasatan mendapati kumpulan penyeludup terbabit terlibat dalam kegiatan penyeludupan gandum dan minyak masak ke negara jiran.

Katanya, berdasarkan hasil maklumat daripada suspek yang ditahan, polis berjaya menemui kenderaan Isuzu Trooper yang merempuh kereta anggota PGA di Felda Kemahang, Tanah Merah pada pukul 10 malam semalam.

Tambahnya, susulan daripada penahanan tiga suspek itu, polis sedang memburu dua lagi suspek termasuk ketua kumpulan sindiket itu iaitu Muhamad Tarmizi Muhamad,37, atau lebih dikenali sebagai Mizi dan Muhamad Hafiz Sulaiman, 22, untuk membantu siasatan.

Ketiga-tiga suspek direman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu secara melulu.K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI