fbpx

98 peratus permohonan bantuan MLBBB lulus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Zafrul (dua kanan) meninjau Kempen Bantuan Pembayaran Balik Pinjaman di Pusat Kovensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam, petang tadi.

Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED

SHAH ALAM – Sebanyak 98 peratus pemohonan bantuan pinjaman Moratorium Lanjutan dan Bantuan Bank Bersasar (MLBBB) telah pun diluluskan oleh bank setakat ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, permohonan MLBBB dibuka sejak Ogos tahun ini dalam membantu golongan yang benar-benar memerlukan.

Katanya, inisiatif itu lebih bersasar dan membantu khususnya golongan B40 dan M40.

“Bagi peminjam yang hilang pekerjaan atau mengalami potongan gaji boleh mengemukakan dokumen berkaitan untuk mendapatkan moratorium lanjutan atau pengurangan ansuran sepadan dengan pengurangan gaji bagi tempoh sekurang-kurangnya enam bulan (bergantung kepada jenis pinjaman).

“Mereka yang mempunyai kekangan yang lain seperti pendapatan isi rumah ataupun perniagaan terjejas boleh mendapatkan pelbagai bantuan yang disediakan oleh institusi kewangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau memberitahu, orang ramai tidak perlu bimbang kerana fleksibiliti yang diberikan kepada peminjam sepanjang tempoh ini tidak akan terpapar dalam laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) peminjam.

“Mereka yang masih mampu membayar disarankan agar terus membayar balik ansuran pinjaman selaras dengan perjanjian bayaran masing-masing.

“Tak usah lengah-lengahkan bayaran balik.Apabila peminjam mengurangkan jumlah hutang, ia juga demi kebaikan peminjam sendiri dan sekiranya betul mengalami kekangan terdapat pelbagai bantuan yang disediakan,” katanya.

Tengku Zafrul menjelaskan dalam sesi turun padang bersama pasukan kementeriannya di kempen Bantuan Pembayaran Balik Pinjaman di Pusat Konvensyen di sini mendapati orang awam berpuas hati mengenainya.

“Ini berikutan pihak bank fleksibel dalam memberikan bantuan seperti moratorium tambahan, pengurangan bayaran bulanan dan pemanjangan tempoh bayaran balik selepas tamatnya tempoh moratorium automatik pada hujung bulan September ini. ⠀

“Saya ingin ingatkan bahawa Malaysia merupakan satu-satunya negara di dunia yang melaksanakan moratorium bayaran pinjaman secara automatik selama enam bulan kepada kesemua peminjam tidak kira golongan B40, M40 mahupun T20,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan kerajaan sentiasa prihatin dalam memastikan kesejahteraan individu dan kelangsungan perniagaan. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI