fbpx

Tempahan Toyota Hilux 2020 dibuka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Toyota Hilux 2020 kini dibuka untuk tempahan.

Oleh AFIFI HAFIZ MOHD NOR

KUALA LUMPUR – UMW Toyota Motor Sdn. Bhd. (UMWT) mengumumkan tempahan bagi Toyota Hilux 2020 yang dipertingkat kini dibuka.

Varian 2.8 menggunakan enjin 2.8 liter turbo diesel dengan kod 1G-FTV Yang telah diberikan penambahbaikan untuk meningkatkan kuasa dan tork.

Enjin berkenaan mampu menghasilkan kuasa maksimum 204 PS pada 3,400 rpm dan tork maksimum 500Nm pada 1,600 hingga 2,800 rpm.

UMWT memaklumkan, walaupun enjin itu lebih berkuasa, kadar penggunaan bahan api tidak meningkat.

Bahkan, kecekapan penggunaan bahan api Hilux 2020 lebih baik disebabkan penggunaan pam minyak dua-peringkat yang secara optimum menukar tekanan
minyak mengikut kesesuaian.

Sebagai tambahan, ciri penyejuk pra-EGR (Exhaust GasRecirculation) sejukan cecair jenis paip berkembar turut dipasang untuk mengoptimumkan suhu gas EGR.

Trak pikap itu juga datang dengan Limited Slip Differential (LSD) automatik yang membantu melalui sistem kawalan cengkaman (TRC) untuk mengawal brek dan output enjin ketika satu daripada tayar belakang mula hilang cengkaman pada permukaan.

Dalam masa yang sama, sistem LSD automatik berkenaan diaktifkan ketika dalam mod pemanduan High dan pacuan 2WD dengan kelajuan sehingga 50 kilometer sejam (km/j).

Lima varian ditawarkan termasuk Double Cab 2.4 E A/T menjadi tambahan penawaran terbaru. Varian Double Cab 2.8 Rouge A/T akan menggantikan Double Cab 2.8 Black Edition ketika ini, sementara Double Cab 2.4 V A/T merupakan naik taraf daripada varian Double Cab 2.4 versi L-Edition.

Bagi yang inginkan transmisi manual, varian Double Cab 2.4 G dan Single Cab 2.4 masih lagi dijual.

Tujuh warna diberikan sebagai pilihan bagi Hilux 2020 ini iaitu Bronze Mica Metallic (gangsa), Crimson Spark Red Metallic (merah), Attitude Black Mica (hitam), Phantom Brown Metallic (coklat), Medium Silver Metallic (perak), Silver Metallic (perak) dan Super White II (putih).

Bagaimanapun, Hilux Single Cab hanya ditawarkan dalam warna Solid White sahaja (putih).

Harga ditawarkan bermula RM92, 880 tidak termasuk insurans.

Pelanggan yang ingin membuat tempahan boleh berkunjung ke bilik pameran Toyota berhampiran atau layari toyota.com.my serta hubungi talian bebas tol 1-800-88-869682. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI