fbpx

Pengawal peribadi terkena lima tembakan, majikan dua tembakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TANGKAP layar video yang memperlihatkan salah seorang mangsa yang parah ditembak dua lelaki menaiki motosikal dalam kejadian di hadapan SMK Telok Datok, Banting di sini semalam.

KUALA LANGAT – Sebanyak lima kesan tembakan didapati mengenai pengawal peribadi yang dilepaskan oleh dua penyerang bermotosikal dalam kejadian di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Datok, Banting di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, kesan tersebut hasil pemeriksaan doktor terhadap lelaki itu yang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dekat sini.

Katanya, selain itu didapati terdapat sembilan kesan lubang pada bahagian badan mangsa.

“Manakala majikan pengawal peribadi itu didapati terkena dua das tembakan di masing-masing di lengan kiri dan rusuk kanan.

“Kedua-dua mangsa juga mempunyai satu anak peluru yang tersangkut di bahagian tulang belakang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Kata beliau, kedua-dua mangsa kini masih dirawat di Zon Merah HTAR dekat sini namun dilaporkan stabil.

“Doktor pakar sedang melakukan pemeriksaan lanjut sebelum melakukan pembedahan bagi mengeluarkan peluru tersebut,” katanya.

Tambah beliau, dipercayai sebanyak sembilan das tembakan dilepaskan hasil penemuan sembilan keronsong di lokasi kejadian.

Kosmo! hari ini melaporkan dua suspek bersenjata api yang menunggang motosikal nekad mengekori sebuah kereta jenis BMW sebelum melepaskan sembilan das tembakan ke arah pemandu dan penumpang kenderaan berkenaan dalam kejadian di hadapan SMK Telok Datok, Banting di sini.

Kejadian kira-kira pukul 12.45 tengah hari ini mengakibatkan pengawal peribadi dan majikannya berusia 30an parah di bahagian dada dan badan, manakala tiga pelajar sekolah turut cedera dirempuh kereta dinaiki mangsa ketika cuba melarikan diri. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI