fbpx

Diserbu ketika leka pindah gas LPG

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aminuddin (kiri) menunjukkan gas LPG subsidi yang dipindahkan oleh sindiket di sebuah stor haram di Jalan Sukepi, Kampung Jenjarom, Selangor.

KUALA LANGAT – Keghairahan dua lelaki memindahkan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi secara haram terbantut apabila diserbu pihak berkuasa dalam kejadian di Jalan Sukepi, Kampung Jenjarom di sini malam tadi.

Dalam serbuan pukul 8.45 malam, kedua-dua mereka yang merupakan pekerja teknikal dan pemandu lori berusia 25 dan 35 tahun juga tidak sempat melarikan apabila kawasan tersebut dikepung sepasukan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDNHEP) dan Hal Pengguna dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor serta Daerah Kuala Langat.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP Selangor, Aminuddin Muhammad berkata, kejayaan itu hasil risikan pihaknya selama dua minggu terhadap kegiatan pemindahan gas LPG untuk dijual kepada pihak industri dengan mengaut keuntungan berlipat ganda.

Katanya, siasatan mendapati kegiatan di stor haram itu telah beroperasi sejak enam bulan lalu.

“Ketika serbuan dilakukan didapati proses pemindahan gas tersebut masih berlangsung dengan dilakukan oleh pekerja stor tersebut.

“Soal siasat mendapati mereka adalah pekerja teknikal dan pemandu lori yang menghantar bekalan gas LPG ke stor tersebut,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan lanjut menemui mendapati sejumlah 20,000 kilogram gas LPG telah dipindahkan dengan hos pemindahan gas masih disambungkan ke lori tangki tersebut.

Ujar Aminuddin, pihaknya turut merampas 1,709 tong gas LPG bersaiz 14 kilogram termasuk 894 daripadanya kosong.

“Sebuah treler juga dirampas yang mampu memuatkan 900 tong gas dengan sindiket menyasarkan pasaran industri terutama kilang dan hotel di sekitar Lembah Klang.

“Nilai rampasan bagi gas LPG yang berjaya diselamatkan adalah RM150,000 dan nilai keseluruhan termasuk kenderaan dan peralatan pemindahan gas LPG mencecah RM374,659.20,” katanya.

Jelas beliau, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Kita juga sedang mengesan pembekal, pemilik tanah dan kenderaan terbabit untuk tindakan lanjut termasuk di bawah Seksyen 44 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI