fbpx

Cubaan bunuh depan sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KESAN tembakan pada bahagian cermin sebuah kereta BMW dalam kejadian di hadapan SMK Telok Datok, Banting semalam.

KUALA LANGAT – Sesi persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Datok, Banting di sini semalam gempar dengan kejadian tembakan yang dilepaskan dua lelaki bermotosikal ke arah sebuah kereta mewah dalam kejadian di hadapan sekolah berkenaan.

Kejadian kira-kira pukul 12.45 tengah hari yang turut disaksikan oleh orang awam itu meng­akibatkan seorang pengawal peribadi dan seorang majikan parah akibat terkena beberapa das tembakan.

Kedua-dua mangsa yang berusia 30-an termasuk seorang kontraktor itu diserang ketika mereka berada di dalam sebuah kereta jenis BMW.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila dua suspek yang menunggang sebuah motosikal telah mengekori kedua-dua mangsa yang menaiki kereta BMW itu.

Katanya, sebaik sampai di lokasi kejadian, suspek telah melepaskan beberapa das tembakan ke arah kereta dinaiki mang­sa sehingga mengenai pemandu dan penumpang.

“Tembakan tersebut mengenai dada dan beberapa anggota badan kedua-dua mangsa.

“Ketika mangsa cuba me­larikan diri melalui hadapan sekolah, kereta tersebut telah hilang kawalan dan merempuh tiga pelajar sekolah dan beberapa buah kendera­an lain,” katanya di sini semalam.

 

MANGSA berlumuran darah selepas ditembak suspek.

 

Difahamkan, tiga mangsa yang cedera itu merupakan pelajar tingkatan enam sekolah ber­kenaan.

Tambah Fadzil, ketiga-tiga pe­lajar terbabit mengalami kece­de­raan pada bahagian kaki dan leher dan mereka telah dihantar ke Hospital Banting untuk rawatan.

Dua mangsa tembakan pula dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang di sini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya kini sedang memburu suspek yang terlibat dalam melepaskan tembakan sehingga menyebabkan kecederaan pada mangsa.

“Siasatan awal kita mendapati motif kejadian dipercayai berpunca daripada pergaduhan antara dua kumpulan.

“Buat masa ini, kita sedang mengenal pasti suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya.

 

SALAH seorang pelajar yang cedera selepas dirempuh BMW.

 

Terdahulu, tular di media sosial beberapa keping gambar dan rakaman video menunjukkan sebuah kereta jenis BMW dengan kesan sembilan das tembakan pada bahagian cermin hadapan dipercayai dilakukan dua lelaki bermotosikal.

Berdasarkan gambar dan rakaman video berkenaan, kelihatan seorang lelaki dalam keadaan berlumuran darah di kerusi hadapan kereta BMW berkenaan, manakala beberapa pelajar sekolah pula cedera dan menerima rawatan di tepi jalan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI