BARANGKALI jangka masa sembilan tahun masih belum cukup untuk menobatkan sesebuah perkahwinan dengan mahkota kemenangan. Sementelah bagi sesetengah orang, tempoh tersebut masih disifatkan sebagai fasa permulaan untuk pasangan suami isteri.
Biarpun begitu, pasangan pelakon Eira Syazira dan Azad Jasmin tetap bersyukur kerana dikurniakan bahagia yang melimpah sepanjang melayari bahtera perkahwinan sejak 2011. Masa yang dikongsi bersama cukup buat bekalan hari mendatang.
Sempena meraikan ulang tahun kesembilan perkahwinan mereka pada 16 September lalu, Azad mempunyai cara tersendiri untuk membahagiakan isteri tercinta. Dia menganjurkan sebuah majlis kejutan yang berlangsung di Dealova Place, Petaling Jaya baru-baru ini.
Demi mengelak daripada dihidu si isteri, Azad terpaksa berbohong dengan mengatakan mereka akan meraikan majlis itu dalam sebuah makan malam romantis.
Walhal Azad, 44, sebenarnya sudah merancang untuk membuat kejutan sejak sebulan lalu sambil dibantu keluarga dan sanak saudara yang turut mengambil bahagian dalam komplot untuk mengenakan Eira pada hari bahagia tersebut..
“Saya bersyukur dipertemukan dengan Eira untuk melayari kehidupan ini bersama-sama. Biarpun berbeza sikap, tetapi kami saling percaya dan masing-masing sudah matang menjalani hidup sebagai suami dan isteri.
“Angka sembilan tahun merupakan simbolik kepada jumlah anak kami seramai tiga orang. Saya memang teringin mahu ‘menikah’ lagi dan isteri pun tidak kisah sebenarnya. Asalkan syaratnya saya kena bersanding dengan orang yang sama iaitu dia,” seloroh pelakon filem Nana Tanjung itu sambil disambut tawa isteri.
Momen manis tersebut menjadi detik pertama menyaksikan Azad dan Eira bersanding semula di atas pelaminan ringkas bak pasangan pengantin baharu selain turut makan beradab.
Lebih mengejutkan, Eira yang popular menerusi drama bersiri Ku Milikmu menerima hadiah set barangan kemas berupa sebentuk cincin, rantai, gelang dan anting-anting bernilai RM15,000.
“Selama ini, saya yang selalu memainkan peranan merancang majlis untuk keluarga kami. Azad hanya bersetuju dan menjadi ‘Mr. Okey’ dengan apa yang telah dirancang.

Pelengkap
“Sekitar dua bulan lalu dia ada kata mahu buat sesuatu sempena ulang tahun perkahwinan kami tetapi dengan syarat, saya tidak boleh tanya lanjut atau melihat telefon bimbitnya. Cuma memang tidak sangkalah Azad meraikan kami dengan cara begini,” ujar Eira, 36.
Perkahwinan bersama Azad sebenarnya banyak mengubah persepsi dan dunianya sehingga bertukar warna ceria. Sebelum berkahwin, Eira merupakan seorang wanita yang serius dan sensitif.
Segalanya berubah selepas kemunculan seorang suami yang sarat humor. Kata Eira, sikap lucu dan ceria dalam diri Azad menyuntik nilai tambah dalam keluarga mereka.
“Saya suka sikap Azad yang begini, selalu ceria dan ada sahaja kenakalan mencuit hati. Sama seperti peminat tengok dalam media sosial, begitulah dia di rumah.
“Secara tidak langsung, perangai kelakar dia membuatkan rumah dan kehidupan saya serta anak-anak tidak pernah bosan. Selama sembilan tahun hidup bersama, dia mengubah warna hidup saya menjadi lebih ceria,” ujarnya bernada bahagia.

Dipenuhi gelak tawa dengan jenaka setiap hari, ibu beranak tiga itu mengakui ada ruang kosong yang dirasakan dalam hati, sekiranya si suami tiada di sisi atas urusan kerja.
Anak lelaki
Situasi sebegitu sekali gus menyedarkan Eira betapa besarnya peranan dan impak kehadiran suami dalam keluarga agar rumah tangga terjunjung penuh rasa cinta.
“Hidup sebagai suami isteri tidak boleh buat perkara membosankan. Paling penting, jangan berpura-pura di depan pasangan. Di rumah kita muram, tetapi bahagia ketika berjumpa kawan di luar.
“Sebab itu saya selalu tekankan rumah itulah syurga. Selama ini saya banyak belajar daripada Azad dan keluarga dalam aspek ikatan kekeluargaan. Ibu mertua tidak pernah menganggap saya sebagai menantu. Rapatnya hubungan ini, hanya kami yang tahu,” lanjutnya.

Menyentuh soal zuriat, pasangan yang dikurniakan tiga cahaya mata perempuan iaitu Amarra Sofea Rose, 7, Ameisya Leanne Rose, 4, dan Areisya Suri Rose, 2, itu punya kehendak berbeza dalam soal menambah bilangan ahli keluarga.
Sebagai suami dan lelaki, Azad mengimpikan kehadiran anak lelaki untuk dijadikan peneman. Namun, jika ditanya Eira, wanita itu sudah cukup bahagia dengan tiga orang puteri, namun tidak menolak andainya masih ada rezeki ditakdirkan buat mereka.
“Sebenarnya saya masih belum boleh hamil dalam masa beberapa tahun ini sebab jarak antara anak kedua dengan ketiga sangat rapat. Tambahan ketiga-tiga anak dilahirkan secara pembedahan.
“Demi mengelakkan risiko, doktor kata saya hanya boleh hamil untuk tempoh lima tahun selepas melahirkan anak ketiga. Kalau suami mahukan anak lelaki, saya pula sebenarnya menginginkan anak perempuan,” ujar Eira ceria.














