fbpx

Norizam tampil agresif perkasakan skuad TRW

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORIZAM (tengah) sudah melunaskan semua bayaran gaji barisan pemain dan pegawai TRW sehingga akhir musim.

Oleh YATIMIN ABDULLAH

PEMILIK The Red Warriors (TRW) Norizam Tukiman sedia melaburkan antara RM5 juta hingga RM10 juta bagi membina sebuah pusat latihan dalam usaha me­ningkatkan lagi kualiti dan p­restasi barisan pemain pasukan Kelantan FC pada masa hadapan.

Norizam atau Zamsaham berkata, setakat ini pihaknya sudah mengenal pasti tiga lokasi yang dilihat berpotensi untuk dibangunkan sebagai tapak pusat latihan baharu di sekitar Kota Bharu dan luar dari daerah tersebut.

Bagaimanapun menurutnya, lokasi pusat latihan itu masih belum dimuktamadkan dan masih dalam proses rundingan.

“Pembinaan pusat latihan ini merupakan nafas baharu yang saya mahu masukkan ke dalam skuad TRW sekali gus melonjakkan lagi prestasi pasukan Kelantan FC dan ia amat penting buat pasukan bagi musim 2021.

“Mengikut perancangan, pusat latihan baharu itu akan dilengkapi kemudahan padang, gim, bilik pemulihan selepas sesi latihan, kafe dan pelbagai lagi,” katanya kepada pemberita selepas me­rasmikan Majlis Pelancaran Jersi TRW di Bachok, Kelantan kelmarin.

Pasukan Kelantan FC menam­pilkan dua warna jersi iaitu merah untuk perlawanan di gelanggang sendiri, manakala hitam pula akan digunakan untuk aksi di tempat lawan.

Norizam memberitahu, pusat latihan yang akan dibangunkan itu akan mengikut acuan Kelantan FC yang berpandukan kepada modul bola sepak Eropah dan Jepun.

Katanya, ia akan dibangunkan secara berperingkat-peringkat me­ngikut perancangan yang te­lah ditetapkan.

“Apa yang penting, permukaan padang perlu menepati piawaian sebagaimana ditetapkan oleh Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA).

“Pembaharuan ini selari kehendak dunia bola sepak semasa yang menuntut skuad TRW untuk menjadi lebih baik pada masa akan datang,” ujarnya.

Tanpa berselindung, Norizam mengakui skuad TRW agak terkebelakang dalam aspek pembangunan bola sepak ketika ini.

Katanya, bentuk pembaharuan yang cuba dibawa ini berpandukan kepada hasil perkongsian dengan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan perbincangan bersama ketua jurulatih, Yusri Che Lah.

Dalam perkembangan lain, No­rizam mendedahkan, skuad TRW akan menjalinkan kerjasama dengan sebuah pasukan beraksi dalam saingan liga kedua di Jepun yang merangkumi pelbagai aspek termasuk taktikal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI