fbpx

Seorang lelaki Cina tempatan, 3 PATI ditahan tentera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lelaki cina tempatan dan tiga PATI warga Indonesia ditahan dalam Op Benteng di Bandar Penawar, Johor, pagi tadi.

KUALA LUMPUR-Hasrat tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia memasuki Malaysia secara haram punah apabila mereka ditahan tentera bersama seorang warga tempatan berbangsa Cina.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) memaklumkan, kejadian tersebut berlaku di sektor Op Benteng kawasan tanggungjawab Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged) oleh Pasukan Rejimen Pertama Kor Armor Diraja (1 KAD) pukul 11.50 pagi tadi.

“Pada pukul 11.30 pagi, Kumpulan Rondaan dari 1 KAD telah melihat sebuah teksi jenis Proton Exora yang mencurigakan berada di bahu jalan sekitar kawasan Ladang Sungai Tengah, Bandar Penawar, Johor bersama seorang pemandu lelaki warga tempatan berbangsa cina berusia 70 tahun.

“Setelah pemeriksaan dilakukan, pemandu tersebut memaklumkan kenderaannya mengalami kerosakan. Namun, hasil siasatan lanjut dan pemeriksaan telefon bimbit beliau telah mendapati pemandu tersebut sedang menunggu untuk mengangkut PATI,” menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Kumpulan Rondaan digerakkan ke lokasi untuk melaksanakan penjejakan di sekitar kawasan tersebut pada sekitar pukul 11.50 pagi.

Hasil rondaan itu, anggota 1KAD menemui dan menangkap tiga PATI wanita warga Indonesia berusia antara 37 hingga 40 tahun yang baru masuk ke Malaysia dan menunggu kenderaan tersebut.

“Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM57,930 termasuk kenderaan jenis Proton Exora serta wang tunai dan tiga buah telefon bimbit.

“Kesemua PATI dan pemandu teksi telah di bawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk dibuat pemeriksaan dan saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia,” menurut kenyataan itu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI