fbpx

LGK diiktiraf antara tujuh lapangan terbang terbaik oleh ACI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LGK) muncul salah satu daripada tujuh lapangan terbang yang diiktiraf oleh Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI) di­sebabkan prestasi terbaik dalam menyediakan fasiliti dan per­khidmatan kepada pelanggan.

LGK akan disenaraikan Ketua Pengarah ACI Roll of Excellence, yang diwujudkan sejak 2011 untuk memberikan penghargaan kepada lapangan terbang yang dianggap menyediakan perkhidmatan terbaik secara konsisten oleh penumpang.

Maklum balas penumpang diperolehi daripada kaji selidik Kua­liti Perkhidmatan Lapangan Terbang yang dijalankan setiap tahun oleh ACI, yang menetapkan penanda aras global bagi lapa­ngan terbang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports, Datuk Mohd. Shukrie Mohd. Salleh berkata, penghormatan tersebut memberi motivasi kepada komuniti lapangan terbang dan rakan kongsi untuk terus memberi perkhidmatan terbaik dalam tempoh mencabar kini.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada sokongan berterusan pelanggan dan mengharapkan masyarakat akan kembali yakin menggunakan perjalanan udara dengan langkah keselamatan ter­tinggi yang diambil bagi memastikan keselamatan mereka,” katanya  dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

Sebagai pintu masuk kepada salah satu destinasi pelancongan utama negara, LGK dinaik taraf pada 2018 untuk menampung empat juta penumpang setahun.

Ia merekodkan pergerakan 2.9 juta penumpang pada 2018, pe­ningkatan lapan peratus berbanding tahun sebelumnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI