SUASANA persembahan di pentas utama Studio Ramli Hassan, Taman Bukit Tunku, Kuala Lumpur pada hari itu berbeza sama sekali dari sebelum ini.
Sering dimeriahkan dengan tepukan hampir 100 penonton setiap kali berlangsungnya persembahan kesenian dan kebudayaan, kali ini bertukar sunyi sepi.
Di ruang depan pentas tersebut yang terlihat cumalah kelibat seorang lelaki memegang kamera jenis digital refleks lensa tunggal bersama tiga orang lagi yang mengawal penataan cahaya.
Keadaan tersebut sama sekali tidak melunturkan semangat Alena Murang, 31, bersama tiga rakannya serta penari iringan untuk tampil di atas pentas bagi membuat persembahan bertajuk Ra’ong.
Ra’ong adalah persembahan tarian berkisar topi tradisional etnik Kelabit di Sarawak yang diiringi alunan lagu Midang-Midang dan Liling.
Meskipun persembahan kumpulan tersebut berlangsung tanpa kehadiran penonton, namun Alena tetap memberikan 100 peratus komitmennya sewaktu berada di atas pentas.
Anak jati Kuching, Sarawak tersebut menyedari bahawa akan ada banyak mata yang memerhati setiap gerak-geri tarian dan alunan lagu yang dipersembahkan.
“Beginilah norma baharu persembahan seni dan kebudayaan di negara ini selepas dunia dilanda pandemik Covid-19 pada akhir tahun lalu.
“Persembahan terpaksa dilakukan tanpa penonton bagi mengelak penularan wabak. Dengan bantuan teknologi, kami masih boleh mengadakan persembahan dalam norma baharu,” katanya kepada K2.
Persembahan Alena dan rakan-rakannya itu adalah salah satu daripada 17 persembahan seni dan kebudayaan tempatan yang dipentaskan di Studio Ramli Hassan sempena penganjuran Festival Seni Maya Malaysia yang dinamakan Gerak Angin.
Festival pertama dianjurkan secara online itu diadakan bagi meraikan kepelbagaian seni, budaya dan warisan masyarakat di negara ini menerusi medium digital.
Semua persembahan Gerak Angin dipersembahkan dalam bentuk video pendek yang dipaparkan di laman web, YouTube, Facebook dan Instagram. Orang ramai boleh menonton Gerak Angin dari 16 September lalu hingga 2 Oktober depan.

Alena berkata, festival berkenaan diadakan pada waktu yang tepat terutamanya buat penggiat seni tempatan.
Jelasnya, Gerak Angin menyediakan platform alternatif kepada para penggiat seni tempatan sepertinya untuk membuat persembahan selepas beberapa bulan menyepi akibat Covid-19.
“Apabila Covid-19 melanda negara dan dunia, banyak persembahan yang dirancang sebelum ini terpaksa ditangguhkan. Ini telah menjejaskan pendapatan kami hampir 60 peratus.
“Menerusi penganjuran festival ini, kami bukan sahaja dapat menjana pendapatan, malah dapat mengembalikan keyakinan membuat persembahan di atas pentas,” jelas wanita kacukan Itali-Kelabit itu.
Platform terbaik
Gerak Angin dianjurkan oleh tiga syarikat seni persembahan iaitu Syarikat Teater Masakini, Sutra Foundation serta Surprise Ventures dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia.
Festival tersebut melibatkan seramai lebih 200 individu yang terdiri daripada artis, jurukamera, kru pencahayaan dan kontraktor peralatan.
Gerak Angin telah dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Seri Nancy Shukri di Studio Ramli Hassan baru-baru ini.
Pengarah Artistik Syarikat Teater Masakini, Puan Sri Sabera Shaik berkata, pihaknya sangat berbangga dapat menganjurkan festival seni maya itu yang pertama di negara ini.

Jelasnya, pihaknya menyedari ramai orang di luar sana termasuk artis seni persembahan kehilangan pekerjaan akibat pandemik Covid-19.
“Sejak beberapa bulan ini, saya menerima banyak khabar berita sedih bahawa ramai rakan artis berasa tertekan kerana tidak ada persembahan disebabkan larangan berkumpul beramai-ramai. Rentetan itu, kami tampil dengan idea Gerak Angin yang mengetengahkan konsep secara online tanpa mengabaikan elemen-elemen penting dalam persembahan pentas,” terangnya.
Menariknya, setiap persembahan dihadkan dengan durasi antara 10 hingga 15 minit yang dipaparkan dengan kualiti paparan video berdefinisi tinggi 4K.
Menurut Sabera lagi, Gerak Angin adalah platform terbaik bagi mengetengahkan seni warisan tempatan kepada masyarakat memandangkan tidak ada penganjuran acara sedemikian ketika ini.
Jelasnya, persembahan merangkumi muzik, tarian dan teater itu menonjolkan elemen kepelbagaian kaum dan etnik tempatan sempena bulan Kemerdekaan dan sambutan Hari Malaysia.
“Persembahan ini dijayakan oleh 17 syarikat produksi terkemuka tempatan seperti Pusat Budaya Pusaka, KLJAC, Swara CAC, DiDance, KL Shakespeare Player dan STEPS Perak.
“Ia membabitkan persembahan seperti joget, gamelan, wayang kulit, makyung, reog, odissi India Timur, tarian kotemporari masyarakat Cina, sape, kuda kepang dan urban jazz,” terangnya.
Sementara itu, Pengerusi Yayasan Sutra, Datuk Ramli Ibrahim memaklumkan, para penonton bakal merasai pengalaman baharu menonton persembahan seni dan budaya tempatan.
Beliau sangat berharap Gerak Angin dapat membangkitkan semangat seni dan budaya terutamanya dalam kalangan golongan muda memandangkan persembahan itu ditayangkan melalui medium digital.
“Sepanjang 17 hari festival berlangsung, kami menyasarkan jumlah tontonan terkumpul sebanyak 1.3 juta. Sasaran ini dianggap realistik dan tidak mustahil untuk dicapai.
“Ramai pencinta seni dan budaya tempatan di luar sana dahagakan untuk menonton persembahan. Gerak Angin adalah satu hadiah dan rahmat kepada masyarakat Malaysia selepas lama berada di rumah akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan,” ujarnya.
Kongsi Ramli, persembahan melalui platform digital juga dapat membantu mempopularkan seni dan warisan tempatan kepada masyarakat di luar negara.
Terangnya, masyarakat luar dapat mengenali dengan lebih dekat keunikan seni dan budaya di negara ini sekali gus menarik minat mereka untuk melancong ke sini pada masa akan datang.
“Mereka pasti teruja dapat melihat kepelbagaian tarian, pakaian dan muzik tempatan yang ditampilkan dalam persembahan ini,” tuturnya.
Salah seorang penonton Gerak Angin, R. Charu, 25, berkata, Gerak Angin sedikit sebanyak mengubat kerinduannya kepada persembahan seni dan budaya tempatan.
Anak kelahiran ibu kota itu berkata, bilangan penganjuran acara seni membabitkan penonton yang ramai agak terhad apabila Covid-19 melanda.
“Ini satu inisiatif yang baik oleh pihak penganjur dalam usaha menyemarakkan kembali seni dan budaya dalam masyarakat tempatan. Meskipun dalam norma baharu, namun mesej yang diketengahkan sampai kepada penonton,” ujarnya.
Charu yang juga seorang pekerja swasta berharap, program seumpama itu dapat diperluaskan agar semua mendapat manfaat daripadanya sama ada penggiat atau penggemar seni tempatan.














