fbpx

DBKL gempur premis tanpa lesen di Times Square

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairul (dua dari kanan) melakukan pemeriksaan lesen di sebuah premis perniagaan di Berjaya Times Square hari ini.

KUALA LUMPUR- Sebanyak 100 premis dikompaun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam Operasi Kompleks di pusat beli-belah Berjaya Times Square di sini hari ini.

Pengarah Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan DBKL, Khairul Anuar Juri berkata, operasi yang bermula kira-kira pukul 11 pagi itu disertai 150 anggota penguat kuasa DBKL yang diketuai Jabatan Perlesenan dan Pembangunan Perniagaan bagi membanteras premis tidak berlesen selain melantik warga asing tanpa permit kerja sah serta beberapa kesalahan lain.

“Bagi kesalahan premis tanpa lesen, melantik warga asing tanpa permit sah dan aktiviti tidak selaras, tindakan diambil mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian 2016 yang memperuntukkan kompaun tidak melebihi RM2,000.

“Di bawah undang-undang kecil itu, syarikat boleh menggajikan pekerja warga asing, namun perlu mendapatkan kebenaran dan permit daripada pihak imigresen,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Ditanya mengenai penggajian warga asing tanpa permit sah, Khairul Anuar berkata, syarikat-syarikat kecil milik individu banyak melakukan kesalahan itu.

“Syarikat-syarikat besar dan berjenama jarang melakukan kesalahan menggajikan warga asing tanpa permit sah,” katanya.

Operasi itu antara lain mengesan kesalahan berkaitan gagal pamer lesen, produk bio, halangan dan petempatan makanan.

Tindakan bagi kesalahan gagal pamer lesen, produk bio dan halangan dikenakan mengikut Akta Kerajaan Tempat, mananakala tindakan bagi petempatan makanan dikenakan mengikut Undang-Undang Kecil Petempatan Makanan (2016).

Ujarnya, ini merupakan operasi ketiga DBKL membanteras premis tanpa lesen selepas operasi di pusat beli-belah di Sunway Velocity dan Kenanga Wholesale.

Operasi Kompleks merupakan operasi dalaman DBKL, namun menurut Khairul Anuar, sekiranya DBKL mempunyai maklumat mengenai  pendatang asing tanpa izin (PATI), pihaknya akan memanjangkan maklumat berkenaan kepada pihak imigresen. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI