fbpx
Shafee

Bapa hilang sejak kelmarin ditemui lemas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBERANG PERAI – Usaha pencarian seorang lelaki yang tidak pulang ke rumah sejak kelmarin oleh keluarganya bernoktah apabila lelaki itu ditemui sudah tidak bernyawa di dalam laut di Kilometer 7.2, Jambatan Pulau Pinang di sini petang tadi.

Mayat lelaki berusia 57 tahun itu ditemui kira-kira pukul 1 tengah hari dalam keadaan terapung.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, terdahulu polis menerima laporan daripada anak lelaki mangsa tengah hari semalam yang memaklumkan bapanya tidak pulang ke rumah selepas keluar pada pukul 2.30 petang kelmarin.

“Lelaki itu dan ahli keluarganya dari Lunas, Kedah pergi mencari mangsa sebelum terjumpa motosikal milik lelaki itu di Kilometer 4, Jambatan Pulau Pinang arah Perai.

“Anak mangsa tidak menemui bapanya di tempat kejadian dan beranggapan motosikal jenis Yamaha LC itu rosak.

“Petang tadi, polis menerima maklumat satu mayat akan dibawa ke Jeti Pangkalan Marin Batu Uban, George Town dan pemeriksaan mendapati mayat itu adalah mangsa yang dilaporkan hilang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Shafee berkata, pemeriksaan mendapati tiada sebarang kesan kecederaan dan unsur jenayah.

“Hasil bedah siasat di Hospital Seberang Jaya mendapati punca kematian mangsa disebabkan lemas.

“Siasatan mendapati si mati dipercayai membunuh diri kerana masalah kewangan,” katanya. – K! ONLINE