fbpx

ATM tingkatkan kawalan maritim, darat di Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR- Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan memperkukuhkan kawalan persempadanan maritim dan daratan di Sabah susulan maklumat kemasukan besar-besaran Pendatang Tanpa Izin (PATI) dari negara jiran ke Sabah, bertujuan membuat kekacauan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 26 September ini.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, ATM sentiasa bersiap sedia dalam apa jua situasi dan ancaman yang cuba mengganggu gugat kesejahteraan dan kedaulatan negara ini.

Katanya, kawalan akan diperkukuh menerusi Op Benteng yang ditunjangi ATM dan dilaksana secara bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi-agensi lain Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM), Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

“Dengan penglibatan dan kerjasama padu anggota serta aset-aset daripada semua agensi keselamatan dan penguatkuasaan, ia diaturgerakkan secara terancang terutama dalam memberi tumpuan kepada aspek kawalan, keselamatan dan kesejahteraan di Sabah bagi melancarkan
proses pilihan raya negeri berkenaan.

“Adalah disarankan kepada masyarakat tempatan agar turut sama menjadi ‘mata dan telinga’ kerana kedaulatan negara merupakan tanggungjawab bersama dan bukan hanya digalas oleh pasukan keselamatan semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan pagi ini.

Justeru, masyarakat terutama di Sabah digesa untuk bekerjasama dalam menyalurkan sebarang maklumat pencerobohan PATI dan aktiviti jenayah rentas sempadan malalui talian hotline Pusat Operasi NTF di talian 011-6251 1223.

Kosmo! pada 20 September lalu melaporkan aset PDRM bakal digerakkan sepenuhnya dalam usaha menghalang kemasukan PATI ke negara ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, langkah berkenaan dilaksanakan adalah sebagai persediaan awal berikutan pihaknya mendapat maklumat berkaitan wujudnya kemasukan PATI secara besar-besaran daripada negara jiran. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI