fbpx

Ah long ugut bakar rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

Oleh MOHD. SHAHRULANOOR ISHAK

KUANTAN – Seorang bapa berusia 48 tahun resah apabila diugut ah long yang mahu membakar rumahnya disebabkan hutang anak lelakinya.

Dalam kejadian semalam, isteri mekanik itu menjumpai notis tuntut hutang yang diletakkan di dalam peti surat di rumah mereka di sini sebelum lelaki tersebut dihubungi suspek melalui panggilan telefon.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa menerima notis tersebut selepas suspek gagal mencari anak lelaki pasangan itu yang berusia 20 tahun.

“Suspek memaklumkan anak lelaki mangsa berhutang RM1,000 dan meminta bayaran balik sebanyak RM6,000.

“Pemungut hutang itu juga memaklumkan, jumlah bayaran balik akan naik berlipat ganda menjadi RM18,000 jika gagal diselesaikan dalam tempoh sejam,” katanya.

Ujar beliau lagi, suspek turut mengugut mahu menyimbah cat atau membakar rumah jika bayaran balik tidak diselesaikan dalam tempoh tersebut.

“Suspek juga membuat ugutan lain, pihaknya tidak bertanggungjawab jika terjadi apa-apa kepada anak pengadu sekiranya hutang tidak dibayar,” tambahnya menerusi  satu kenyataan hari ini.

Bimbang dengan ugutan itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini semalam untuk disiasat mengikut Seksyen 29B (1) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI