fbpx

K2

Kawalan sempadan Aksem

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KEDAULATAN undang-undang ialah Rukun Negara keempat yang wajib dipatuhi oleh semua warganegara. Oleh itu, seramai 32.7 juta penduduk di Malaysia seharusnya menjunjung tinggi usaha pasukan keselamatan untuk terus mendaulatkan undang-undang negara dengan menguatkuasakan peraturan-peraturan sedia ada.

Baru-baru ini isu kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) secara haram melalui daratan mahupun lautan kerap dilaporkan, begitu juga dengan kes-kes penyeludupan di kawasan sempadan tanah air, sekali gus memerlukan usaha kawalan sempadan yang rapi.

Malaysia dipisahkan dengan lima negara yang bersempadan dengannya. Sempadan di utara ialah negara Thailand, di Pantai Barat pula dengan Indonesia, sempadan di selatan ialah Singapura manakala Sabah dan Sarawak bersempadan dengan Brunei, Filipina dan Indonesia.

Pihak berkuasa dan keselamatan Malaysia bertungkus lumus siang dan malam dalam memastikan pintu sempadan negara tidak dibolosi dan tiada sebarang aktiviti penyeludupan.

Salah satu agensi yang membantu memastikan kawalan sempadan negara dikawal ketat ialah Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem).

Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) Aksem, Mohd. Ridzzuan Mohd. Zain berkata, Aksem adalah gabungan daripada tiga agensi keselamatan negara iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

“Aksem merupakan agensi keselamatan yang baru sahaja ditubuhkan pada akhir tahun 2017. Sepanjang hampir tiga tahun penubuhan Aksem, kami menolong dari segi penambahan kekuatan pertahanan di setiap pelosok kawasan sempadan.

“Aksem kini bersama anggota penguat kuasa yang lain berada di bawah National Task Force (NTF) menjaga kedaulatan tanah air,” katanya kepada K2.
Aksem diberi tanggungjawab untuk menjaga sempadan negara di bahagian daratan sahaja, seperti contoh yang boleh dilihat di Zon Utara yang memisahkan Malaysia dan Thailand meliputi Kelantan, Perak, Kedah dan Perlis.

K2 baru-baru ini sempat mengikuti lima siri rondaan secara eksklusif bersama pasukan keselamatan termasuk Aksem di sempadan utara negara. Selain Aksem, rondaan turut melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Hasil pemerhatian mendapati barisan pertahanan tanah air bertungkus lumus memastikan kawasan di sempadan Malaysia dan Thailand seluas 662 kilometer bebas jenayah siang dan malam.

Dari situ juga dapat dilihat bagaimana, anggota keselamatan menghidu lorong-lorong tikus yang digunakan dalam aktiviti penyeludupan.

Pasukan Aksem dilihat melakukan sekatan jalan raya di Bukit Kayu Hitam, Kedah. Mereka melakukan pemeriksaan terhadap kenderaan yang menggunakan laluan itu.

Penyeludupan berkurangan

Anggota Aksem akan memeriksa dalam dan luar kenderaan serta pemandu bagi memastikan tiada barang seperti senjata api, daun ketum mahupun produk makanan bercukai yang berjaya diseludup.

ANGGOTA Aksem menunjukkan rampasan beberapa makanan dari Thailand yang cuba diseludup masuk
ke negara ini.

Mengulas lanjut, Ridzzuan menjelaskan fungsi Aksem adalah bagi melaksanakan pencegahan penyeludupan dan kes-kes jenayah rentas sempadan.

“Penglibatan kami hanya sebagai agensi bantuan. Kami akan membantu dari segi tenaga kerja serta kepakaran dan kemahiran termasuk bagi Operasi Benteng (Op Benteng) yang dibentuk bagi mengawal penularan wabak Covid-19 di kawasan sempadan sejak Mei lalu.

“Cara kami menjalankan tugas adalah dengan membuat siasatan. Selepas itu, kami akan melakukan penangkapan dan serahkan suspek kepada agensi berkaitan untuk siasatan lanjut,” jelasnya.

Sementara itu, Ridzzuan memberitahu dalam konteks Op Benteng di Zon Utara, terdapat dua jenis kawalan dilakukan iaitu menghalang penyeludupan manusia atau melibatkan barangan.

“Apa yang boleh difahami untuk konteks penyeludupan manusia ialah PATI yang datang ke negara ini tanpa mempunyai dokumen yang sah.

“Dalam konteks penyeludupan barang pula terbahagi kepada tiga kategori barangan yang sering diseludup iaitu barangan kawalan, bercukai serta larangan,” ujarnya.

Ridzzuan menjelaskan, barangan kawalan adalah seperti minyak masak atau barangan yang dikawal pengeluaran atau harganya oleh kerajaan.

“Barangan bercukai yang terkenal pula ialah rokok dan arak. Kedua-dua barangan itu sering dirampas pihak Aksem.

“Sementara itu, bagi barangan larangan pula contohnya ialah mercun yang lazimnya popular di musim perayaan. Tetapi bagi tahun ini, kes penyeludupan mercun jarang berlaku kerana permintaan yang kurang di pasaran,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Ridzzuan berkata, aktiviti penyeludupan telah berkurangan di bawah seliaan Aksem.

“Pada tahun ini, kami memperoleh RM11 juta daripada hasil rampasan untuk tempoh enam bulan pertama, jelas menunjukkan penurunan sebanyak hampir RM10 juta, berbanding jumlah RM20 juta bagi nilai rampasan bagi enam bulan pertama tahun lalu.

“Ini menunjukkan bilangan aktiviti penyeludupan yang semakin menurun,” ujarnya.

Dalam pada itu, Timbalan Komander Aksem Kedah, Abd. Mutalif Ahmad berkata, Aksem serta pihak berkuasa yang lain berjaya menghapuskan banyak kawasan yang digelar hotspot aktiviti penyeludupan.

“Sebagai contoh, pada tahun 2015, pihak berkuasa mengenal pasti 140 kawasan panas atau kawasan tumpuan melakukan aktiviti haram terbabit. Namun, pada tahun ini kami berjaya mengesan hanya 80 kawasan tumpuan aktiviti penyeludupan, cuma kawasan-kawasan tersebut sering berubah dan tidak tetap,” katanya.

Mutalif memberitahu, keamanan negara harus dijaga oleh semua pihak dan bukan hanya bergantung harap oleh pihak berkuasa semata-semata.
“Orang ramai juga diseru membantu pihak berkuasa membanteras aktiviti penyeludupan haram dan jenayah rentas sempadan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI